Selepas bercerai, PAS melangkah diam-diam ke PRU14


Sheridan Mahavera

PAS kini mengambil pendekatan santai mendekati untuk mendekati pengundi berbeza dengan lawannya, PH dan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2017.

SELEPAS kemelut bercerai dengan sekutunya dan kemudian dituduh tidur sebantal dengan Umno, seteru politiknya sejak sekian lama, PAS kini mengambil pendekatan santai mempersiapkan diri melangkah ke pilihan raya akan datang.

Ahli akar umbi parti Islam itu diam-diam menyusun jentera selepas hilang beberapa anggota berpengaruh dan berpengalaman kepada parti serpihannya, Amanah.

Banyak yang sudah dikupas para penganalis politik tentang bagaimana PAS tidak mungkin akan cemerlang dalam pilihan raya akan datang tanpa PKR dan DAP. Cakap-cakap itu kini mula meresap dalam kalangan aktivis parti ketika mereka bersiap sedia menghadapi pilihan raya ke-14 tanpa bekas sekutunya yang sekarang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH).

Apa yang akan berlaku nanti ialah pertembungan beberapa penjuru yang menurut penganalisa, dalam sejarah, selalu menguntungkan Barisan Nasional (BN).

“Kita akan lawan siapa saja, BN atau PH,” kata pengerusi kawasan PAS Shah Alam, Halim Omar ketika ditanya tentang strategi parti itu dalam pilihan raya nanti.

“Dan mesej kami ialah kami adalah pakatan terbaik untuk memerintah negara,” kata Halim kepada The Malaysian Insight.

PAS memutuskan kerjasama dengan DAP pada 2015, sekaligus menamatkan gabungan dalam Pakatan Rakyat. Pada Mei tahun ini, ia menamatkan kerjasama yang terjalin selama 18 tahun degan PKR—yang paling lama dengan mana-mana parti. PKR dan DAP kemudian membentuk PH bersama Bersatu dan Amanah.

PAS kini akan menjadi sebahagian daripada pakatan pembangkang yang kedua, Gagasan Sejahtera Rakyat (Gagasan), kata presidennya Abdul Hadi Awang.

Pakatan itu yang dijangka akan disertai oleh Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) akan dilancarkan secara rasmi pada September ini.

Tetapi ini tidak akan menghalang sesetengah pengkritiknya daripada menuduh PAS berpakat dengan UMNO dari Barisan Nasional.

“Kami komited menentang BN. Kami tidak ambil duit daripada Umno,” kata naib presiden PAS Idris Ahmad.

Segelintir pemimpin PAS dituduh mengambil wang daripada Umno yang kononnya mahu memenangi hati parti Islam itu menyokong BN. Laman web Sarawak Report mendakwa ada bukti pembayaran duit tersebut. PAS menyaman Sarawak Report.

Media sosial ganti ceramah

Tidak sampai setahun tempoh yang ada untuk kempen menjelang pilihan raya, PAS mengelak daripada program besar-besaran yang selalunya jadi tumpuan berita sebaliknya beralih kepada program kecil ziarah bertemu pengundi serta lebih agresif di media sosial.

Pendekatan ini berbeza dengan usaha BN mendekati golongan muda melalui sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50). PH sementara itu cuba membangkitkan gelombang sentimen anti BN melalui siri jelajahnya mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut ahli Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang hanya mahu dikenali sebagai Anas, pihaknya lebih selesa patah balik kepada pendekatan yang asas seperti mengadakan aktiviti panjat gunung atau konvoi motosikal bersama anak-anak muda.

Dengan warga tua, parti itu mendekati mereka melalui ceramah agama di beberapa buah surau di Lembah Klang.

“Mesej kami ialah jenama parti iaitu politik matang dan sejahtera. Kami mahu menggantikan Umno dan menegakkan sebuah negara Islam,” kata Anas.

Aktivis PAS Kedah Helmi Khalid pula berkata jentera parti negeri itu sudah siap sedia untuk PAS mengambil alih kerajaan negeri.

Kedah adalah antara negeri yang mahu dimenangi PAS selain Selangor, Terengganu, Kelantan dan Perak.

“Kita tidak nampak agresif kerana kita ada dana yang terhad. Kita berjimat untuk pilihan raya. Apabila harinya tiba, kita akan sebarkan bendera kita.”

Alasan lain kenapa pendekatan agak senyap itu ialah kebanyakan kempen berlangsung melalui media sosial, kata Helmi.

“Pertama, ia murah. Kedua, ia boleh dibuat setiap hari. Tidak seperti ceramah, mesejnya berterusan.”

Semua yang diwawancara yakin PAS dan Gagasan mampu menandingi PH yang sekarang dibarisi tokoh berpengaruh seperti bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin.

“Saya percaya sekiranya pengundi membanding kami dengan BN dan PH, kami ada track record terutamanya mentadbir Kelantan selama dua dekad,” kata Halim dari Shah Alam.

Biarpun begitu, wakil rakyat Mahfuz Omar yang kuat mengkritik PAS dari dalam menepis semua strategi dan dakwaan itu.

“Mereka tidak buat apa-apa yang berlainan pun dengan apa yang mereka biasa buat ada atau tidak ada pilihan raya. Semua program ini rutin,” kata Mahfuz ketika dihubungi.

“PAS tidak ada mesej yang jelas yang boleh memenangi hati rakyat dalam pilihan raya akan datang.” – 5 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen