Dr Mahathir dikritik di media sosial selepas berjanji kukuhkan badan kehakiman


Yap Pik Kuan

Ada di antara pengguna Facebook menyifatkan janji Dr Mahathir sebagai 'lawak paling kelakar tahun ini'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2017.

PENGGUNA media sosial di Facebook mengkritik Dr Mahathir Mohamad selepas bekas perdana menteri itu berjanji mahu menegakkan semula “keluhuran undang-undang” jika Pakatan Harapan (PH) menang PRU14.

Dalam temubual eksklusif bersama The Malaysian Insight yang diterbitkan pagi tadi, Dr Mahathir yang kini Pengerusi PH berkata, pembangkang akan mengembalikan kebebasan badan kehakiman dan melaksanakan perubahan yang akan menjamin mekanisme semak dan imbang yang lebih wajar dalam tiga cabang kerajaan.

Bagaimanapun, kenyataan Dr Mahathir itu dikritik oleh beberapa pengguna Facebook, termasuk Zulhilmi Zoul yang menyifatkannya sebagai “lawak paling kelakar tahun ini”.

“Orang yang menghancurkan badan kehakiman masa krisis 1988 nak janji kukuhkan badan kehakiman,” tulis Zulhilmi di ruangan komen.

“Joke of the year (lawak paling kelakar), bila nak undi, semua benda manis dan janji langit dan bumi.

“Seorang lagi pengguna Facebook, Mark Goh berkata Dr Mahathir bertanggungjawab atas apa yang berlaku sekarang dan mendapati sukar untuk mempercayai bekas perdana menteri itu. 

Katanya, Dr Mahathir yang menyediakan segala kaedah dan tunjuk ajar kepada anak didiknya untuk diguna dan disalahgunakan, merujuk kepada Perdana Menteri Najib Razak.

“Anda boleh kata apa yang anda mahu sekarang. Hakikatnya, andalah orang yang bertanggungjawab ke atas semua yang berlaku sekarang. Anak didik anda hanya menggunakan kaedah dan asas yang kamu berikan untuk terus memperkukuhkan pegangan dan kuasa,” tulis Goh.

“Bagaimana kami mahu mempercayai anda? Saya rasa tak boleh… tapi apa pilihan yang kami ada selain daripada harapan.

Keith Chin pula berkata dia tidak percaya kepada politik dan mahu orang ramai lebih celik dan pandai menilai apa yang dikatakan oleh ahli politik.

“Politik…inilah sebab kenapa orang ramai tidak mahu mempercayai mereka yang berkuasa,” katanya.

“Tetapi jika ia memenuhi keperluan rakyat, kita juga perlu belajar untuk tidak mudah terpengaruh. Kita gunakan ahli politik sebagaimana mereka pergunakan kita.”

Beberapa pengguna lain juga memberikan komen, mengatakan apa yang dihadapi Dr Mahathir sekarang ialah akibat daripada segala tindakannya yang lepas dan rakyat tidak akan diperbodohkan dengan mudah.

Rahim Yusof: “You can fool some people sometimes but you can’t fool all the people all the time (sesekali anda boleh menipu orang, tapi anda tak boleh menipu semua orang pada setiap masa).”

Bagaimanapun, seorang pengguna iaitu Matthew Chung berharap Dr Mahathir dapat menerajui pembangkang mencapai kemenangan pada Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ramai yang percaya Dr Mahathir bertanggungjawab mengurangkan kuasa badan kehakiman semasa beliau menjadi perdana menteri.

Pada 1998, bekas presiden Mahkamah Tinggi Salleh Abbas dipecat dan lima hakim Mahkamah Tinggi digantung tugas , menyebabkan sistem kehakiman menjadi pincang hingga mencetuskan krisis dalam badan kehakiman.

Majlis Peguam mengutuk pemecatan itu, kemudian meminta krisis pada 1988 itu dikaji semula selepas pada 2006 Dr Mahathir mengakui memberi kata dua kepada Salleh sama ada untuk meletak jawatan atau dipecat.

Pada tahun sama, Mahkamah Persukutuan dipinda untuk memadam terma “kuasa badan kehakiman” daripada Artikel 121(1) Perlembagaan Persekutuan, yang melemahkan kuasa mahkamah. – 4 Ogos, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen