1MDB terus bermasalah kerana tak dibahas di Parlimen, kata PAS


Amin Iskandar

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata salah satu punca 1MDB terus bermasalah kerana tidak dibenarkan untuk dibahas di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2017.

PAS hari ini mengkritik kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membayar IPIC sejumlah AS$603 juta pada tempoh ditetapkan sebagai satu perkara yang memalukan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata salah satu punca syarikat itu terus bermasalah kerana tidak dibenarkan untuk dibahas di Parlimen.

“PAS tetap dengan pendirian menuntut kerajaan akur dengan keputusan Majlis Raja-Raja pada 2015 yang menggesa siasatan terhadap 1MDB diselesaikan secepat mungkin dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu 1MDB pada kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, seperti bayaran hutang kad kredit, seseorang harus tahu menguruskan kewangannya agar dapat membayar pada waktu yang ditetapkan supaya tidak dikenakan bayaran denda yang lebih mudarat.

“Mengapa 1MDB tidak umum terlebih awal ia memerlukan masa, dan membiarkan IPIC yang melakukan pengumuman terlebih dulu?

“Pertama, 1MDB sudah pun mengetahui pembayaran perlu dilakukan ada 31 Julai sejak 24 April lalu setelah penyelesaian ini diumumkan di Bursa Saham London.

“Apakah tiga bulan ini tidak mencukupi untuk menyelesaikan semua masalah teknikal atau ada perkara lebih besar yang sedang disembunyikan?” soalnya.

Tuan Ibrahim berkata sehingga kini, kita masih tidak mengetahui apa kesannya jika 1MDB gagal untuk membayar dalam tempoh 5 hari yang diberikan IPIC ekoran kegagalan membayar ansuran pertama pada 31 Julai lalu.

“Apakah ini ekoran kegagalan mendapat duit daripada China untuk Bandar Malaysia?

“Mana pergi duit penjualan daripada Edra? Alasan 1MDB masih memerlukan kelulusan pengawalseliaan tambahan juga menimbulkan tanda tanya. Kelulusan mana yang sedang ditunggu 1MDB?” soalnya.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan bagaimana dengan pembayaran kedua kepada IPIC pada 31 Disember,  2017.

“Apakah tempoh lima bulan ini mencukupi untuk 1MDB membuat persediaan dan segala kelulusan teknikal untuk membayar tepat pada masa,” katanya. – 4 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen