Sebat orang bukan belas kasihan, kata aktivis


Gan Pei Ling Najjua Zulkefli

Jurucakap JFS S Thilaga mengatakan beliau menangis ketika menyaksikan hukuman sebat yang dilaksanakan di samping mengatakan pesalah kedua dirotan lebih kuat daripada pesalah pertama.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 September, 2018.

HUKUMAN sebat bukan belas kasihan, lebih-lebih lagi jika kerajaan negeri yang merancang untuk melaksanakannya di hadapan khalayak, kata Gabungan Kumpulan Bertindak bagi Kesaksamaan Gender (JAG) hari ini.

JAG menolak dakwaan seorang exco Terengganu dan Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PPSM) yang mengatakan hukuman sebatan tidak bermaksud untuk menyeksa dan tidak merendahkan maruah kaum wanita.

Jurucakap Kumpulan Keadilan untuk Wanita (JFS) S Thilaga berkata dia sendiri mendengar dua wanita lesbian menangis ketika mereka disebat di hadapan 100 orang saksi Isnin lepas.

“Hukuman itu memang bermaksud untuk tujuan tontonan ramai. Anda boleh lihat mereka mereka menekup muka ketika masuk ke dalam kamar mahkamah. Kita dapat lihat begitu banyak kepentingan awam ketika pelaksanaan hukuman itu ditonton.

“Orang kedua dipukul lebih kuat. Anda dapat lihat semua orang dalam kamar mahkamah terpegun. Saya terus menangis apabila orang kedua itu disebat. Anda dapat melihat sendiri dia menangis.” Kata Thilaga dalam siding media di Kuala Lumpur.

Hukuman sebat terhadap pasangan lesbian tempohari telah membuatkan Malaysia menjadi tajuk-tajuk utama media antarabangsa. Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa menggelarkan hukuman itu sebagai satu penyiksaan sementara orang Melayu yang beragama Islam mempercayainya sebagai satu cara berkesan untuk menghalang hubungan sejenis berlaku di kalangan orang Islam.

Peguam Honey Tan menyifatkan hukuman yang ingin dilaksanakan di stadium sebagai tidak masuk akal.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 September, 2018.

JFS adalah salah satu dari 13 kumpulan hak wanita yang membentuk JAG. Selain kumpulan itu, Women’s Aid Organisation (WAO), Tenaganita, Persatuan Peguam Wanita dan Sister in Islam (SIS) turut menyertai gabungan tersebut.

Thilaga menyifatkan pihak berkuasa yang fikir hukuman yang menjatuhkan maruah dan menghina itu boleh menjadi pengajaran kepada masyarakat sebagai tidak masuk akal.

“Ia hanya menimbulkan trauma. Sudah lama keganasan terhadap kaum LGBT berlaku sejak beberapa tahun ini. Hukuman sebatan ini hanya menambahkan trauma. Ramai orang jadi kemurungan (kerana hal ini),” kata Thilaga.

Seorang peguam, Honey Tan mengatakan tidak masuk akal jika ada negeri-negeri lain yang  mahu melaksanakan hukuman itu di stadium

“Adakah ini satu pertunjukan? Ia tak boleh dibenarkan,”kata Tan, beliau turut menambah Malaysia harus menghentikan semua bentuk hukuman ganas yang ada.

Sister In Islam turut bergabung dalam JAG menyatakan sokongan menghentikan hukuman sebat di khalayak.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 September, 2018.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SIS Rozana Isa turut memetik kata-kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Islam adalah agama yang penuh belas kasihan dan hukuman seperti itu menjatuhkan maruah manusia dan tidak bersifat Islamik.

Pesuruhjaya Suhakam Lok Yim Peng yang turut hadir dalam siding media tersebut berkata hukuman sebat bukan sahaja memalukan dua wanita terbabit, bahkan keluarga mereka turut sama menanggung malu.

“Jangan ambil ringan perkara ini. Kita perlu lindungi maruah setiap individu,” kata Lok. – 12 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen