Aktivis berang, Malaysia haramkan buku Islam sederhana


Buku "Breaking The Silence: Voices Of Moderation - Islam In A Constitutional Democracy", ialah himpunan esei diterbitkan kumpulan G25. – Gambar AFP, 2 Ogos, 2017.

AKTIVIS dan pengarang buku di Malaysia berang apabila pihak berkuasa mengharamkan buku yang diterbitkan bertujuan mempromosikan Islam sederhana.

Buku bertajuk “Breaking The Silence: Voices Of Moderation - Islam In A Constitutional Democracy”, ialah himpunan esei diterbitkan sekumpulan rakyat Malaysia beragama Islam yang terkemuka.

Pengharaman itu ditandatangani Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang berkata mencetak atau memiliki buku itu “mungkin memudaratkan ketenteraman awam”.

Sesiapa yang melanggar pengharaman buku itu – yang diterbitkan di negara jiran Singapura – boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun.

Malaysia sering mengharamkan buku, filem dan lagu yang mungkin mengandungi bahan sensitif berkaitan agama atau seks, tetapi pengkritik berkata kerajaan bertindak lebih tegas sejak akhir-akhir ini.

Buku itu diilhamkan kumpulan bekas penjawat awam kanan dan diplomat dikenali dengan nama G25 – yang ditubuhkan untuk mendesak kerajaan lebih bertoleransi, dan sesetengah esei itu ditulis oleh ahlinya sendiri.

Chandra Muzaffar, salah seorang pengarang dalam koleksi esei itu berkata pengharaman itu menunjukkan kerajaan mengamalkan “pendekatan autoritarian terhadap Islam”.

“Ia himpunan esei yang bertujuan menunjukkan ekstremis dan pemikiran taksub terhadap perkara berkaitan amalan Islam di negara ini patut ditentang dalam cara intelektual,” katanya.

Marina Mahathir, aktivis hak asasi yang juga anak bekas perdana menteri berkata pengharaman itu yang ditandatangani minggu lalu bertujuan untuk mendiamkan pengkritik kerajaan.

“Ia hanya untuk mendiamkan sesiapa yang ada pandangan berbeza,” katanya.

Pengkritik berkata tindakan kerajaan mengawal ketat apa saja yang dianggap tidak Islamik semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini apabila parti Perdana Menteri Najib Razak dilihat mahu mengambil hati pengundi Melayu Islam, apatah lagi spekulasi kini tersebar yang pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.

Pada Julai, selepas didesak parti politik Islam, lagu popular “Despacito” diharamkan ditayangkan di televisyen dan radio tempatan berikutan liriknya yang dikatakan agak lucah.

Lebih 60% daripada 30 juta populasi Malaysia beragama Islam. – AFP, 2 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen