Warkah terbuka buat Zahid


SAHABATKU Zahid, 
Kenapa aibkan Dr Mahathir sampai macam ini? Kenapa ungkit ungkit asal usulnya? Apa yang salah berkenaan asal usul Dr Mahathir? 

Bukankah Dr Mahathir, Zahid dan saya juga,kita semua sama sama ciptaan Tuhan? Apa lebihnya asal usul keturunan kita pula? 

Zahid sahabatku, 
Kalau Dr Mahathir ada buat salah semasa beliau jadi perdana menteri selama 22 tahun, maka kritiklah dia secara jujur. Kalau perlu dedahkan kesilapan pentadbirannya, dedahkanlah secara objektif dengan disokong fakta sebagai bukti.

Tetapi apa perlunya membangkitkan asal usul Dr Mahathir di khalayak ramai seperti sengaja untuk memalukannya? Orang Melayu berbudaya tinggi tidak buat macam itu Zahid. Orang Islam yang menolak fahaman asabiah atau perkauman sempit tidak akan buat seperti apa yang anda buat itu. 

Sahabatku Zahid, ini warkah terbuka untukmu. Apakah masih kenal saya sahabatmu yang bernama Hassan Karim? 

Kita berkawan baik semasa di Universiti Malaya awal 1970-an dulu. 

Saya malu dengan perbuatanmu Zahid. Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak cakap, buruk padahnya. 

Saya tahu anda berkuasa sekarang. Anda timbalan perdana menteri, orang nombor 2 dalam kerajaan. 

Tetapi kerana saya anggap anda sahabat baik saya dari dulu sampai sekarang walaupun kita berbeza pendirian politik,  maka saya memberanikan diri untuk menegur dan mengkritik anda secara terbuka kali ini. 

Saya malu dengan keceluparan anda menghina Dr Mahathir sampai begitu sekali. Saya juga tak kurangnya dalam mengkritik beliau. Malahan saya menentang Dr Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri dahulu. 

Anda pun tahu hal ini. Tetapi kita buat secara beradab. Hal yang amat peribadi seperti asal usul seseorang kita tidak jajakan di khalayak ramai. 

Saya tahu sahabatku Zahid juga menteri dalam negeri yang menjaga polis dan penjara. Kalau hendak tangkap saya, tangkaplah. Saya tidak akan lari. 

Kalau hendak tuduh saya dengan Akta Hasutan atau Akta Komunikasi dan Multimedia, tuduhlah. Saya tidak akan padam warkah terbuka ini. Biarlah ia menjadi bukti di umur usia emas seperti ini, sebagai sahabat baikmu, saya bangun bersuara mengkritik saudara.

Sekian, sahabatku Zahid. 

Yang benar, Hassan Karim. – 1 Ogos, 2017.

 

* Hassan Karim ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen