Jangan tuduh imam berniat menghalalkan yang haram, kata Mufti Perlis


Looi Sue-Chern

Islam membenarkan perbezaan pendapat dan umat Islam dibolehkan menyokong pandangan atau tidak bersetuju dengan ulama yang lain, kata Mufti Pelis Mohd Asri Zainal Abidin. – Gambar Facebook, 31 Julai, 2017.

MUFTI Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang dituduh menghalalkan zina hari ini berkata, Islam membenarkan perbezaan pendapat dan umat Islam dibolehkan menyokong pandangan atau tidak bersetuju dengan ulama yang lain.

Dalam catatan Facebooknya, Asri berkata, ianya dengan syarat menyokong atas dasar hujah yang diyakini, bukan sekadar emosi atau pun taksub. Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Mufti Perak Harussani Zakaria.

“Kita boleh mengkritik pandangan, tetapi tidak boleh menghina para imam yang muktabar dengan menuduh mereka berniat ingin menghalalkan apa yang Allah haramkan atau seumpanya.

“Tuduhan seperti itu keterlaluan jika keluar daripada mulut seseorang. Orang yang mengucapkan demikian, sama ada dia tidak tahu tentang keluasan khilaf dalam bab yang diperkatakan, atau pun dia seorang yang kurang beradab terhadap para imam.

“Jika kita tak bersetuju, sebut saja tidak bersetuju dengan pendapat ini, atau pun menganggap ia pendapat yang marjuh atau lemah.Jangan kita kata: ini meghalalkan yang haram dan seumpamanya,” kata Asri.

Harussani pada awal hari ini menuduh Asri seperti mahu menghalalkan zina apabila menyokong penghakiman Mahkamah Rayuan baru-baru ini berhubung anak tidak sah taraf.

Katanya, Malaysia tidak perlu “melawan arus” berhubung anak tidak sah taraf kerana perkara itu sudah diputuskan ulama Islam terdahulu.

Asri berkata, “Ali bin ‘Asim meriwayatkan daripada Abu Hanifah (Imam Mazhab Hanafi) beliau berkata: ‘Jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan lalu mengandung disebabkan perzinaan itu, aku berpendapat TIDAK SALAH untuk dia berkahwin dengannya dan menutupinya (aib) dan anak itu dikira anaknya.”

Katanya lagi, “Para ulama ijmak (sepakat tanpa kecuali) bahawa jika anak dilahirkan dalam keadaan isteri bersuami, kemudian ada orang lain mendakwa itu anaknya, anak itu tidak akan dinasabkan kepada yang mendakwa. Hanya para ulama berkhilaf (berbeza pendapat tentang nasab) apabila anak itu lahir dalam keadaan perempuan tidak mempunyai suami.”

Beliau menjelaskan lagi, pendapat yang seiras dengan apa yang diriwayatkan daripada Abu Hanifah ini juga ditulis para ulama daripada tokoh-tokoh sebelum dan selepas beliau iaitu ‘Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Sulaiman bin Yasar, Ishaq bin Ruhuyah (boleh disebut Ruhawaih), Ibn Taimiyyah, Rasyid Ridha, Dr Yusof al-Qaradawi dan ramai lagi.

“Jadi, apakah kita ingin menuduh mereka menghalalkan zina? Ataupun kita dangkal dalam membaca hujah dan alasan pihak lain?” kata Asri.

Mahkamah Rayuan pada minggu lepas menetapkan bidang kuasa ketua pengarah JPN adalah sivil dan kerana itu tertakluk kepada undang-undang sivil.

Sehubungan itu, JPN perlu merujuk kepada Seksyen 13A (2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) untuk membuat keputusan berkaitan nama keluarga atau ayah kanak-kanak.

Penghakiman itu yang meliputi anak tidak sah taraf Islam dan bukan Islam dilakukan susulan rayuan yang difailkan kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dilahirkan lima bulan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari mengikut kalendar Islam) selepas perkahwinan ibu bapanya.

Kanak-kanak itu didaftarkan di JPN dua tahun selepas lahir dan kedua-dua ibu bapanya memohon untuk meletakkan nama ayahnya “MEMK” tetapi JPN mendaftarkan anak itu kepada “bin Abdullah”. – 31 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kalau betul nak jugak namakan anak tak sah taraf (yang Islam) dengan nama bapa biologinya, sila baca syaratnya di bawah :

    Imam Ibn Qudamah al-Hanbali (w.620H) menyebut: “Anak zina tidak dinasabkan (kepada bapa biologinya) di sisi jumhur ulama. Al-Hasan (al-Basri) dan Ibn Sirin berkata: Dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi itu jika ditegakkan hukum hudud ke atasnya (seperti sebatan 100 kali) dan anak itu boleh mewarisinya. Berkata Ibrahim (al-Nakhaie): Dinasabkan jika dihukum rotan sebagai hudud, atau memiliki wanita yang disetubuhi. Berkata Ishaq: Dinasabkan kepadanya. Ini juga disebut oleh Urwah (bin al-Zubair) dan Sulaiman bin Yasar.

    Ali bin Asim meriwayatkan daripada Abu Hanifah yang berkata: Aku melihat tiada masalah bagi seorang lelaki yang telah berzina dengan seorang wanita lalu dia hamil akibat itu untuk lelaki itu berkahwin dengannya supaya menutup (aib) ke atas wanita itu, dan anak itu dianggap anaknya.” Rujuk al-Mughni (6/345).

    memang Islam langsung tak bertujuan nak memalukan sesiapa, lagi2 anak luar nikah, semua orang tau anak tu tak berdosa. tapi mak bapak dia nak tak mengaku dosa, atau sekurang-kurangnye bertaubat dengan Allah dalam keadaan senyap-senyap? agak2 kalau di"bin" atau "binti"kan anak tu dengan bapa biologinya, waktu anak tu (kalau perempuan) nak bernikah, dia masih perlu berwali, dan bapa biologi tu tak sah jadi wali. time tu si ayah tu nak ke mengaku itu bukan anaknya yang sah?

    isu bin dan binti ni bukan benda kecil, sebab ni melibatkan taqwa dan keadilan dalam banyak perkara; nikah, cerai, rujuk, harta pusaka dan banyak lagi. harap pihak terlibat yang beragama Islam, jom sama2 bertaqwa kepada Allah, dan sila putuskan perkara yang sepatutnya berlandaskan syarak. wallahu a'lam.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Muhammad Rosly · Ulasan