Masyarakat India Muslim bimbang status Bumiputera hanya bawa perpecahan


Asila Jalil Ravin Palanisamy Looi Sue-Chern

Kebanyakan komuniti India Muslim menjalankan perniagaan dengan modal sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 31 Julai, 2017.

BERITA mengenai Putrajaya sedang mengkaji untuk memberikan status Bumiputera kepada beberapa kategori India Muslim mendapat pelbagai reaksi daripada komuniti itu.

Beberapa orang daripada keturunan India Muslim memberitahu The Malaysian Insight, tindakan itu hanya akan membawa perpecahan komuniti dan membangkitkan kemarahan masyarakat Melayu yang mungkin merasakan hak mereka “ditindas”, dan mungkin menjurus kepada “ketegangan” antara kaum.

Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) baru-baru ini mengumumkan Putrajaya mempertimbangkan untuk menjadikan generasi kelima dan keenam India Muslim yang lahir di Malaysia sebagai Bumiputera.

Presidennya, Senator Syed Ibrahim Kader dilaporkan turut menasihatkan agar pemberian status Bumiputera tidak diberikan kepada semua India Muslim kerana ia tidak adil kepada mereka yang lahir dan dibesarkan di Malaysia.

Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini berkata kerajaan mempertimbangkan permintaan komuniti India Muslim untuk diiktiraf sebagai Bumiputera. Beliau berkata, status itu boleh digunakan secara “pentadbiran atau dengan gazet”.

Bagaimanapun seorang peniaga berketurunan India Muslim memberitahu The Malaysian Insight, dia bimbang akan berlaku perpecahan sekiranya status Bumiputera diberikan kepada sebahagian komuniti dan tidak kepada yang lain.

Kebanyakan daripada kami adalah generasi ketiga India Muslim dan tidak layak untuk status Bumiputera.

“Sama ada berikannya kepada semua, atau tidak perlu berikan langsung,” kata pemilik gerai Raziq Ahmed.

Mohamed Sultan, 54 yang juga merupakan peniaga di Jalan Masjid India juga tertanya-tanya sama ada status Bumiputera kepada India Muslim adalah berbeza dengan yang lain.

“Sudah pasti Melayu merupakan Bumiputera tulen; sekiranya kami diberikan status (Bumiputera) mungkin diklasifikasikan sebagai “Bumi2”, contohnya, dan kami perlu isytiharkan menerusi dokumen rasmi.

“Jika itu berlaku, ia tidak kira sama ada saya diberikan status atau tidak. Kebanyakan India Muslim menjalankan perniagaan sendiri dan mereka bukan dalam sektor kerajaan jadi tidak perlu bimbang tentang status Bumiputera,” katanya.

Status tidak penting

Abdul Razique berkata, status Bumiputera tidak perlu kerana ia tidak membawa apa-apa perubahan signifikan terhadap kehidupan mereka.

“Bagaimana status Bumiputera membantu kami? Komuniti India Muslim menjalankan perniagaan selama ini menggunakan modal sendiri.

“Biarkan saja kerana kami tidak perlukan apa-apa perubahan. Kita tidak bergantung kepada mana-mana pihak kerana menjalankan perniagaan sendiri,” tambahnya.

Syed Ibrahim bagaimanapun enggan mengulas sehingga mengetahui lebih mendalam berhubung perkara itu.

“Saya mahu tunggu makluman daripada Putrajaya mengenai perkara ini,” katanya.

Sudah berstatus Bumiputera

Presiden Liga Muslim Pulau Pinang Najmudeen Kadir berkata India Muslim bersama kumpulan etnik lain seperti Malabar, Pakistan, Arab, Jawa dan Bugis sudah pun diklasifikasikan sebagai Bumiputera kerana memenuhi kriteria yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“India Muslim sama ada melalui proses asimilasi atau etniknya sendiri dikira sebahagian daripada 67% Bumiputera yang diiktiraf kerajaan Malaysia.

“Walaupun pengiktirafan ini sudah termaktub, terdapat salah tafsiran yang menimbulkan masalah pentadbiran,” katanya.

Najmudeen berkata organisasinya, bersama kumpulan India Muslim lain seperti Persatuan India Muslim Malaysia (Permim) dan Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma), akan bekerjasama dengan kerajaan untuk menyelesaikan isu membabitkan komuniti India Muslim.

Komuniti berkembang maju

Malaysia menjadi tempat tinggal kepada jutaan masyarakat India Muslim yang tiba pada abad ke 18 sebelum kehadiran British. Kebanyakannya tiba di negeri utara semenanjung Malaysia seperti Kedah dan Pulau Pinang.

Kebanyakannya hari ini menjalankan perniagaan seperti pengurup wang, peniaga barang kemas dan restoran, dan mereka turut mmperkenalkan nasi kandar kepada rakyat Malaysia.

Segelintir daripada mereka turut mengukir nama menerusi produk keluaran mereka. Abu Backer Mohd Hussan dan Kumpulan Barkath membawa produk gula-gula hacks dan sunquick, manakala Habib Mohamed Abdul Latif dan Habib Jewels terkenal dalam menyediakan barang kemas kepada kebanyakan pengantin di Malaysia.

Ramai daripada komuniti itu turut terlibat dalam bidang profesional seperti ahli politik dan pegawai kerajaan.

Antara personaliti India Muslim yang terkenal adalah gabenor Bank Negara Malaysia keenam, Ali Abul Hassan; pengasas Liga Muslim Pulau Pinang A.M. Abu Bakar, yang pernah menerima anugerah Officer of the Most Excellent Order of the British Empire (OBE); bekas Menteri Kewangan II Nor Mohamed Yakcop; ketua setiausaha negara Ali Hamsa; pengerusi Think City Dr Anwar Fazal; dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang S.M. Mohamed Idris.

Keistimewaan status Bumiputera

Jabatan Perangkaan menganggarkan terdapat 19.78 juta Bumiputera di Malaysia.

Konsep kumpulan etnik Bumiputera yang mengiktiraf keistimewaan Melayu dan orang asal Sabah dan Sarawak. Nama itu diilhamkan perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein.

Pengunaan terma itu adalah berbeza bagi setiap isntitusi kerajaan, organisasi, jabatan dan agensi, namun mereka yang berstatus Bumiputera menerima keistimewaan daripada kerajaan dalam banyak Dasar Tindakan Afirmatif dan menikmati faedah yang mana tidak diperoleh kumpulan etnik lain di negara ini seperti kaum Cina dan India.

Faedah itu termasuklah biasiswa, kemudahan pendidikan, jawatan perkhidmatan awam dan permit atau lesen perniagaan untuk aktiviti perdagangan.

Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (Teraju) bercadang untuk meneruskan penambahbaikan kepada Bumiputera dalam pendidikan, tahap pendapatan, pemilikan hartanah dan juga kesihatan.

Bumiputera juga layak untuk melabur dalam Amanah Saham Nasional (ASNB), yang tidak disediakan untuk kaum Cina dan India, yang menjadi kumpulan minoriti terbesar penduduk.

Separa Bumiputera

Kumpulan minoriti kecil lain, bagaimanapun dibenarkan melabur dalam skim pelaburan ASNB. Mereka adalah masyarakat Siam, Portugis, Serani, muallaf, India Muslim dan orang Islam yang tidak memiliki status Bumiputera.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia Dr Anthony Gilbert berkata, masyarakat Serani Pulau Pinang bukan Bumiputera, walaupun mereka kini adalah generasi kelapan.

“Apa yang kami dapat adalah peluang melabur dalam ASN. Kami hanya perlu membuktikan datuk dan nenek adalah daripada keturunan Portugis. Mereka melihat nama pada sijil kelahiran. Ia bukan sukar untuk dibuat,” katanya.

Namun golongan ini tidak layak untuk menerima faedah Bumiputera seperti diskaun 5% pembelian rumah, katanya.

Bagaimanapun, komuniti Serani di Pulau Pinang tidak menggesa kerajaan untuk mendapatkan status Bumiputera kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian, katanya.

“Status Bumiputera pastinya tidak akan membawa banyak perubahan kepada komuniti,” katanya.

Komuniti Cina Peranakan dan Cheti di Melaka juga dilaporkan melobi untuk mendapatkan status Bumiputera.

Kecuali agama, komuniti Cina Peranakan dan Cheti India mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan berikutan proses asimilasi dengan Melayu tempatan.

Komuniti Eurasia-Portugis atau Kristang di Melaka juga tidak mendapat status penuh Bumiputera, kerana dihadkan untuk melabur dalam ASN. – 31 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen