Umno dah rosak teruk, saya tak akan kembali, kata Dr Mahathir


DR Mahathir Mohamad berkata beliau tidak akan kembali semula kepada Umno, walaupun jika Perdana Menteri Najib Razak sudah tiada lagi di situ, kerana parti itu sudah rosak dan menyimpang jauh daripada matlamat asalnya.

Dalam satu rakaman video di laman Facebook Bersatu, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, walaupun tujuan asalnya keluar Umno untuk menyingkirkan Najib, beliau sedar Umno sebenarnya sudah rosak teruk kerana Najib.

“Ia kini lebih utamakan kepentingan diri, kewangan dan sebagainya, dan tidak lagi perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air,” kata Dr Mahathir yang kini pengerusi Bersatu.

Katanya, itu sebabnya Umno sekarang ini bukan lagi Umno yang dulu.

“Ini ialah Umno bentuk Najib, mempunyai tujuan yang lain sama sekali daripada Umno yang ditubuhkan.

“Sebab itu saya tidak akan kembali kepada Umno.

“Ini Umno yang sudah rosak, lebih utamakan perjuangan untuk ‘dedak’ daripada perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Dr Mahathir meninggalkan Umno pada 29 Februari tahun lepas, berkata “sangat malu” berada di dalam parti yang menyokong perbuatan rasuah.

Beliau juga menuduh Najib “merampas” Umno untuk kekal berkuasa dan mengelakkan diri daripada dipenjarakan kerana skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dulu, Dr Mahathir pernah berkata tidak akan menyertai parti lain dan akan kembali kepada Umno jika ia “dipulihkan”.

“Umno masih di hati saya,” katanya sebelum ini. – 28 Julai, 2017.

 

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen