Dulu pembangkang kalah kerana tak bersatu, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir menyeru Pakatan Harapan untuk bersatu agar matlamat untuk menumbangkan pemerintahan Najib Razak menjadi kenyataan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2017.

KETIKA bercakap kepada ahli Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang membuat lawatan hormat semalam, Dr Mahathir menegaskan perlunya pembangkang untuk bersatu.

“Semasa saya bertanding dalam pilihan raya ketika bersama Barisan Nasional (BN), saya tahu pembangkang akan kalah kerana mereka saling bercakaran. Itu sebabnya kenapa kita perlu menjadi pakatan pembangkang yang bersatu,” kata Dr Mahathir dalam satu catatan Facebook.

Ketika pertama kali dilantik sebagai pengerusi PH pada 18 Julai, Dr Mahathir menggesa parti komponen untuk mengenepikan perbezaan ideologi mereka dan bersatu jika mahu menumbangkan pemerintahan Najib Razak.

“Saya pernah menjadi pemimpin BN. Banyak kali saya menang. Dan kami menang lima pilihan raya kerana pembangkang lemah. Kenapa mereka lemah? Kerana mereka tak bersatu. Mereka bergaduh sesama sendiri dan BN menang,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata, Tengku Razaleigh Hamzah yang keluar parti Umno lalu menubuhkan Semangat 46 pada 1987 juga gagal untuk menyatukan pembangkang kerana ada parti yang tak mahu bersatu.

“Kita perlu menggabungkan fokus kita. Kita perlu bergerak seiring. Slogan kita mesti sama, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kita mesti bersatu.

“Sudah tentu setiap parti ada cabaran masing-masing. Tapi dalam hal ini, matlamat kita sama iaitu menjatuhkan kerajaan kleptokratik.”

Beliau juga memberitahu ahli Pemuda PH, “belum pernah sebuah kemenangan menjadi begitu penting.” . – 28 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen