Tiga persatuan peguam bergabung cabar lanjutan perkhidmatan hakim


Bede Hong

Majlis Peguam, Persatuan Perundangan Sabah dan Persatuan Peguam Bela Sarawak dijangka bergabung mencabar tempoh pelantikan ketua hakim dan presiden Mahkamah Rayuan. – Gambar AFP, 27 Julai, 2017.

TIGA persatuan peguam terbesar di negara ini dijangka akan bergabung untuk mencabar pelanjutan tempoh perhidmatan Ketua Hakim Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin.

Presiden Majlis Peguam Malaysia George Varughese akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Persatuan Perundangan Sabah dan Persatuan Peguam Bela Sarawak Sabtu ini bagi mendapatkan kebenaran bergabung bagi mencabar lanjutan itu.

“Kami percaya sekiranya pelanjutan ini tidak dibantah, ia boleh membawa kepada krisis perlembagaan,” kata Varughese kepada The Malaysian Insight.

Pada 7 Julai lalu, kerajaan melanjutkan tempoh berkhidmat Raus kepada dua tahun lagi sementara  Zulkefli dilanjutkan perkhidmatan tiga tahun.

Kedua-duanya dilantik sebagai hakim tambahan sehingga usia mereka mencecah 66 tahun enam bulan selaras dengan Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Peguam membuat kenyataan balas kepada Putarajaya dengan menyifatkan pelantikan itu sebagai “tidak pernah berlaku, mengganggu dan jelas melanggar perlembagaan” merujuk kepada sekurang-kurangnya lima pelanggaran perlembagaan.

Peguam dari Borneo turut mengutuk lanjutan itu dan menggesa Raus dan Zulkefli mempertimbangkan semula pelantikan mereka, kerana berkhidmat melangkaui tempoh bersara wajib akan menghakis “tanggapan dan kepercayaan awam terhadap sistem kehakiman”.

Varughese berkata kepimpinanan Majlis Peguam akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat mereka di Sabah dan Sarawak sebelum mengadakan mesyuarat agung luar biasa pada 3 Ogos.

“Kepimpinan tiga persatuan akan hadir,” katanya mengenai pertemuan di Miri itu.

“Tujuan pertemuan itu adalah untuk membincangkan isu tersebut yang melanggar perlembagaan.”

Varughese berkata perjumpaan tertutup itu juga diadakan bagi mendapatkan mandat daripada ahli untuk mencabar lanjutan itu di mahkamah.

“Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Majlis Peguam.

“Kita pernah failkan cabaran undang-undang sebelum ini tetapi ia bertentangan dengan pelantikan hakim lain. Tidak pernah menentang ketua hakim yang masih memegang jawatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ditanya sama ada tindakan undang-undang itu akan membawa kepada pertelingkahan antara hakim dan peguam, Varughese berkata, “Saya harap tidak kerana apa yang kami lakukan adalah secara profesional.

“Kita percaya pada prinsip. Kita berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan dan kita menjalankan tugas yang dimaktubkan kepada kita dalam Akta Profesion Undang-Undang.

“Semua pihak memikul tanggungjawab. Sepatutnya tiada sebarang rasa dendam terhadap kedua-dua pihak,” katanya.

Presiden Majlis Peguam itu menambah yang, selepas pertemuan dengan peguam Borneo hujung minggu ini, dia akan menghadiri pula mesyuarat luar biasa Majlis Peguam di Kuala Lumpur Khamis depan di mana dia mengharapkan kedatangan ramai ahli daripada 16,500 peguam yang berdaftar dengan Majlis Peguam.

Tambahnya, pihaknya mahu mengelakkan krisis perlembagaan serupa yang berlaku pada tahun 1988 daripada berulang apabila Presiden Mahkamah Agung Salleh Abbas dipecat dan lima hakim lain pula digantung tugas.

Ketika itu, Majlis Peguam mempersoalkan pemecatan tersebut dan mengkritik peranan bekas Presiden Hamid Omar. Hamid adalah hakim Mahkamah Agung apabila dia mempengerusikan tribunal enam orang yang memecat Salleh.

Pada tahun yang sama, Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menghapuskan istilah “kuasa kehakiman” daripada Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang melemahkan institusi kehakiman.

Majlis Peguam menggesa semakan semula krisis kehakiman 1988 selepas Dr Mahathir Mohamad mengakui pada tahun 2006 bahawa dia meminta Salleh untuk meletak jawatan atau dipecat. – 27 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen