Kami tak gentar berdepan pertarungan 3 penjuru, kata Muhyiddin


Yasmin Ramlan

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga pengarah bagi jawatankuasa pilihan raya PH berkata mereka sudah membentuk satu gagasan efektif untuk rakyat sebagai pilihan alternatif kepada penyokong BN semasa majlis rumah terbuka di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Julai, 2017.

PEMIMPIN kanan Pakatan Harapan (PH) Muhyiddin Yassin memberi isyarat gabungan itu sudah bersiap siaga berdepan pertarungan tiga penjuru dalam pilhan raya umum (PRU) akan datang dengan kemungkinan PAS menjadi satu daripada pihak yang menentang mereka.

Presiden Bersatu itu dalam ucapannya pada majlis rumah terbuka malam tadi mendedahkan pelantikannya sebagai pengarah pilihan raya yang bertanggungjawab mengetuai jawatankuasa pilihan raya PH.

Bekas timbalan perdana menteri yang disingkirkan Perdana Menteri Najib Razak dua tahun lalu kerana mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara terbuka itu berkata, perkara pertama akan dilakukannya ialah mempersiapkan jentera PH menuju PRU14.

“Perkara pertama adalah untuk mengadakan mesyuarat dan meminta setiap parti (di dalam PH) agar menghantar seorang wakil berbincang dengan saya.

“Kami sudah menubuh dan menguruskan satu bilik operasi serta merancang strategi untuk PH,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika di rumah terbuka parti itu di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur.

Muhyiddin merupakan seorang daripada tiga timbalan presiden PH yang dilantik dalam Majlis Presiden PH pada pertengahan bulan ini.

Pengumuman itu diadakan dalam situasi di mana PH akan berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) dan PAS yang membentuk Gagasan Sejahtera.

Sebelum ini PAS mengumumkan akan bertanding dalam sembilan daripada 12 kerusi Parlimen di kawasan Wilayah Persekutuan pada pilihan raya akan datang, termasuk lokasi rumah terbuka itu diadakan.

Kerusi Parlimen yang bakal ditandingi adalah Titiwangsa, Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai, Batu dan Segambut.

Muhyiddin berkata, beliau yakin PH bersiap-siaga menghadapi PRU14 dengan membentuk satu gagasan yang efektif untuk rakyat dan berfungsi sebagai pilihan alternatif kepada penyokong BN.

Difahamkan PH akan bertanding pada 222 kerusi Parlimen di Malaysia berganding bahu dengan Parti Warisan di Sabah.   

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin menggesa kira-kira lebih 600 orang para hadirin yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu agar melupakan BN dan Umno yang lupa dengan perjuangan sebenar – berjuang untuk rakyat.

Sebaliknya, memilih PH yang berikrar untuk menyelesaikan masalah berkaitan isu rakyat.

Beliau juga berterusan mengkritik Najib yang terpalit dengan skandal 1MDB untuk bertanggungjawab terhadap rakyat dan negara kerana sehingga menjadi punca syarikat itu dibebani hutang kira-kira RM50 bilion serta kerugian RM39 bilion.

“Seluruh dunia menceritakan fiil (perangai) buruk amalan mungkar dilakukan Najib yang terlibat dalam 1MDB.

“Beliau bertanggungjawab sepenuhnya dalam skandal 1MDB. Wang tersebut kepunyaan rakyat dan juga mereka daripada Batu,” katanya.

Seorang penduduk yang ditemui ketika menghadiri majlis rumah terbuka itu, Noramin Ahmad, menjangkakan jika PAS bertanding menentang BN dan PH, parti Islam yang diketuai Presiden Abdul Hadi Awang itu akan diketepikan oleh sebahagian besar pengundi.

“Jika PAS bertanding menentang, mungkin rakyat akan undi PAS. Tapi jika ia bertanding menentang BN dan PH, rakyat akan lihat ia sebagai pengacau dan mengabaikannya,” katanya.

Rakannya, Mohamad Bakri pula berkata, ketika PAS bertanding bersendirian menentang BN pada PRU terdahulu, calonnya akan hilang deposit pilihan rayanya.

Manakala Zainal Bahri, 53, yang dahulunya ahli PAS kini bersama Amanah berkata hala tuju parti Islam yang dilihat semakin hilang, membuatkan beliau berubah kepada parti serpihan PAS itu.

“Saya dulu ahli PAS tapi sekarang bertukar kepada Amanah kerana PAS sudah tidak nampak hala tujuannya. Sudah tidak jelas. Mereka sudah tidak ada niat untuk menangani masalah negara.

“Tidak seperti perjuangan Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu. Manakala, PH kita boleh lihat mereka sanggup ketepikan masalah dahulu contohnya Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad untuk fokus kepada rakyat,” katanya.

Musa Deen, 45 yang juga bekas ahli PAS juga mengakui sudah hilang kepercayaan terhadap parti itu atas sebab yang sama.

“Saya dulu ahli PAS tapi bukan lagi sebab sudah tak percaya dengan perjuangan PAS.

“Tadi saya baru saja daftar (menjadi) ahli Bersatu. Secara peribadi saya memang minat dengan idea dan cara Dr Mahathir,” katanya. – 25 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen