Orang Asli Gua Musang halang pekerja ladang durian masuk tanah adat


Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Mustafa Along berkata penduduk Orang Asli bertindak menghalang kumpulan pekerja ladang durian Musang King memasuki kawasan tersebut bagi mengelakkan lebih banyak tanah adat masyarakat itu dimusnahkan akibat aktiviti pertanian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2018.

TIGA puluh penduduk Orang Asli bertindak menghalang sekumpulan pekerja yang ingin masuk ke ladang durian Musang King di laluan masuk ke Pos Tohoi di Gua Musang, semalam, mengakibatkan kekecohan yang berlarutan hampir enam jam.

Bagaimanapun, kekecohan dari pukul 9 pagi hingga 3 petang itu disuraikan secara aman apabila kumpulan pekerja itu sanggup berundur dan berpatah balik ke pekan Gua Musang.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Mustafa Along berkata penduduk Orang Asli bertindak menghalang kumpulan pekerja ladang durian Musang King memasuki kawasan tersebut bagi mengelakkan lebih banyak tanah adat masyarakat itu dimusnahkan akibat aktiviti pertanian.

“Tanah untuk ladang durian Musang King itu baru dibuka oleh sebuah syarikat di kawasan seluas 400 hektar dekat Pos Simpor tanpa ada rundingan dengan penduduk terlebih dahulu.

“Kami bukan sahaja bertindak menghalang aktiviti pembalakan di kawasan perkampungan Orang Asli malah syarikat yang mengusahakan pelbagai tanaman secara meluas kerana tindakan itu memusnahkan tanah adat kami dan mengakibatkan pencemaran sungai,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, ketua sekatan pembalakan Dendi Johari berkata masyarakat Orang Asli akan meneruskan sekatan di laluan Pos Tohoi, Bihai dan Pasik selagi kerajaan negeri tidak menyelesaikan tuntutan tanah adat bagi masyarakat tersebut.

Beliau berkata setakat ini penduduk belum menerima sebarang keputusan berhubung penyelesaian tanah adat itu dan mahu ia diselesaikan segera. – Bernama, 29 Julai, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen