Masa depan negara lebih penting, kata Kit Siang


Looi Sue-Chern

KETIKA Dr Mahathir Mohamad menerajui pimpinan Pakatan Harapan (PH), ahli politik yang pernah menjadi musuhnya, Lim Kit Siang berkata masa depan terlalu penting untuk terus mengenang masa lalu.

Ditanya mengenai keraguan orang ramai terhadap tindakan kontroversi Dr Mahathir selama 22 tahun sebagai perdana menteri, Lim yang merupakan pemimpin pembangkang Parlimen DAP, berkata Malaysia kini berada pada titik di mana masa depannya terlalu penting bagi rakyat berbanding terus melihat masa lalu.

“Dr Mahathir tidak dilahirkan semalam. Beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun, dan sebelum itu, mempunyai sejarah turun naik. Beliau adalah personaliti kontroversi tetapi seorang pemimpin yang kuat.

“Apa jua keadaan dan persoalan yang kami hadapi pada masa lalu, saya fikir persoalan lebih penting sekarang adalah masa depan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP Pulau Pinang hari ini.

Beliau juga menyentuh kedatangan orang ramai yang berjumlah kira-kira 5,000 orang, yang hadir untuk melihat Dr Mahathir di rumah terbuka Hari Raya Bersatu di Pulau Pinang, malam tadi.

Beliau berkata sambutan hangat terhadap pengerusi Bersatu itu adalah bukti beliau mendapat sokongan orang ramai.

Lim ditahan semasa Ops Lalang pada 1987 di bawah pemerintahan Dr Mahathir dan sekatan media serta penahanan lebih 100 ahli politik, aktivis dan intelektual pembangkang.

Zaman pemerintahan Dr Mahathir, yang terkenal dengan pertumbuhan perindustrian yang kukuh dan pemodenan Malaysia, juga ditandakan dengan usaha menyelamatkan beberapa projek mega, tuduhan kronisme, skandal dan penindasan kebebasan awam.

Lim berkata beliau percaya rakyat – di kawasan bandar dan luar bandar di seluruh Malaysia – menyedari ia adalah masa untuk “kebangkitan” di negara ini.

“Kita tidak boleh lupa atau mengabaikan masa lalu, tetapi apa yang dapat kita lakukan untuk masa kini dan masa depan adalah sangat penting sekarang. Ini adalah masa untuk kebangkitan bagi menuntut semula negara kita.”

Lim berkata, malah mendiang Karpal Singh juga akan bersetuju bekerjasama dengan Dr Mahathir.

“Saya percaya jika beliau masih bersama kita hari ini, beliau akan menjadi antara yang pertama (bersetuju untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir) demi masa depan negara.”

Akhir-akhir ini, video lama pengerusi kebangsaan DAP, yang meninggal dunia dalam kemalangan kereta pada 2014, mengatakan yang pembangkang akan memenjarakan Dr Mahathir jika mereka berjaya menawan Putrajaya.

Karpal dilaporkan berkata Dr Mahathir perlu menjawab dakwaan penyalahgunaan kuasa semasa pentadbirannya. Kenyataan itu dibuat pada kempen pilihan raya lepas.

Sejak itu, banyak yang berubah dalam pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN), berikutan pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyaksikan Dr Mahathir menarik sokongannya kepada Perdana Menteri Najib Razak dan keluar daripada Umno untuk membentuk Bersatu.

Parti Dr Mahathir itu kini merupakan ahli penting PH bersama DAP, PKR dan Amanah, dengan beliau mengetuai sebagai pengerusi bersama Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam usaha menjatuhkan bekas partinya daripada terus  berkuasa.

Mengenai Najib, Lim berkata perdana menteri “mesti berada dalam keadaan panik” kerana pentadbirannya sekarang berdepan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap 1MDB, dan skandal rasuah Scorpene.

Lim mempersoalkan sama ada isu ini akan ditangani dalam persidangan Dewan Rakyat, bermula Isnin.

Lim juga menarik perhatian mengenai kenyataan Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor yang kesemua 191 pemimpin Umno bahagian mengisytiharkan sokongan penuh kepada Najib sebagai presiden parti dan perdana menteri dalam mesyuarat tertutup awal minggu ini dan dakwaan Najib kebanyakan daripada 1.6 juta penjawat awam menyokong BN.

Menurutnya, keyakinan Najib itu tidak mempunyai asas yang kukuh memandangkan begitu banyak masalah sedang dihadapinya. – 21 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen