Tiada jaminan penjawat awam terus undi BN, kata kesatuan sekerja


Bede Hong Looi Sue-Chern

Walaupun penjawat awam banyak menerima manfaat daripada polisi kerajaan, ia masih tidak mencukupi bagi mereka menangani kenaikan kenaikan kos hidup yang semakin menekan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2017.

TiIADA jaminan penjawat awam akan terus mengundi kerajaan pemerintah pada pilihan raya akan datang walaupun jaminan diberikan Presiden Umno Najib Razak kepada ketua bahagiannya yang mereka kembali kepada Barisan Nasional (BN), kata para pemimpin kesatuan sekerja.

Ini disebabkan kos hidup yang semakin meningkat melebihi manfaat yang dibawa dasar terdahulu, walaupun kenaikan gaji minimum pada Julai lalu.

“Kami tidak mahu hidup kaya, kami mahu soal kebajikan diambil serius oleh kerajaan,” kata Zainal Ismail, timbalan presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

“Dalam tempoh 10 tahun, harga ikan dan sayur-sayuran serta kos lain meningkat hampir 80%. Walaupun kami memperoleh RM2,000, kami tidak mampu membeli rumah kerana kos sara hidup yang tinggi ini.”

Najib memberitahu ketua Umno bahagian yang majoriti 1.6 juta penjawat awam kembali menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Najib juga berkata beliau menerima taklimat mengenai sokongan padu penjawat awam dalam satu mesyuarat di pusat pengundian Umno di Janda Baik, Pahang, dua minggu lalu, lapor The Malaysian Insight.

“Kami tidak boleh menafikan yang kami menerima banyak manfaat terutamanya gaji minimum, elaun perumahan tambahan dan kenaikan tahunan tetapi ia tidak mencukupi. Kami tidak mahu hidup kaya, tetapi elaun hidup dan perumahan, serta tahap gaji perlu dipadankan dengan kos hidup.

Berkuatkuasa 1 Julai tahun lepas, penjawat awam memperoleh minimum gaji bulanan sebanyak RM1,200, berbanding RM837 sebelum ini. Digabungkan dengan elaun sedia ada, pekerja dalam gred ini memperoleh gaji sekitar RM1,500 dan ke atas.

“Kami kini memberikan lebih 100% dalam prestasi kerja. Kami sudah membuktikan kepada kerajaan. Kami gemar mendesak mereka, agar menjaga penjawat awam. Kami sentiasa menyokong pemerintah jika mereka boleh melakukannya,” kata Zainal.

Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak, Andrew Lo berkata kakitangan awam tidak mempunyai kehidupan begitu selesa sebagaimana disangka kebanyakan orang.

“Tiada yang mampu mengatasinya. Malah, ketika anda biasa melihat orang bercakap tentang penderitaan golongan berpendapatan rendah tetapi dengan situasi ekonomi sekarang, kelompok dengan pendapatan sederhana paling bergelut. Dan ia termasuklah penjawat awam,” katanya.

Lo berkata kelas pertengahan adalah paling terjejas dengan kenaikan kos: “Dari atas, mereka perlu membayar lebih banyak cukai, yang kini termasuk GST dan dari bawah, mereka tidak mendapat sebarang bantuan kerajaan.”

“Dan kos sara hidup di kalangan kumpulan ini meningkat lebih tinggi daripada yang di atas. Mereka mempunyai pinjaman kereta, perumahan, kos pergi balik ke tempat kerja.

“Dan kami belum mengambil kira yuran pengajian anak, kolej dan sebagainya.”

Ditanya sama ada sebahagian besar penjawat awam masih berasa terhutang budi kepada kerajaan pemerintah, Lo menjawab.

“Jika anda binatang dalam zoo, anda perlu mengundi penjaga zoo. Terdapat alternatif, tetapi realiti keadaan adalah ramai yang tidak tahu masalah harian berpunca daripada kepimpinan,” tambah Lo.

“Dan Najib adalah masalah utama, sama ada beliau bersalah atau tidak, tetapi kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyebabkan krisis keyakinan di negara ini. Ringgit merudum, dan ringgit yang lemah secara langsung menyebabkan kos meningkat.”

“Najib adalah penyebab masalah ini. Jika mereka benar-benar bijak, mereka tidak seharusnya menyokong beliau.”

Sementara itu, penganalisis BowerGroupAsia, Asrul Hadi Abdullah Sani, berkata ramai penjawat awam mempunyai masalah dengan hutang dan sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

Asrul menambah walaupun kakitangan awam mungkin menyedari keseriusan skandal 1MDB, ia mungkin tidak akan diterjemahkan sebagai undi untuk pembangkang.

“Anda juga harus ingat, mengapa seseorang penjawat awam perlu mengundi pembangkang apabila ia sejak bertahun lamanya tidak sudah ingin mengurangkan bilangan dan saiz penjawat awam yang semakin membesar.”

Asrul tidak percaya pengerusi Bersatu dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan menjadi faktor untuk menarik para pengundi di kalangan penjawat awam.

“Mungkin hanya di kalangan orang yang bersara, kerana masih terdapat kesetiaan kepada mantan perdana menteri,” katanya. – 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen