Kedah bersedia untuk Pakatan Harapan, kata penganalisis, ahli politik


The Malaysian Insight

Penglibatan aktif Dr Mahathir Mohamad dalam politik dan pemecatan anaknya, Mukhriz sebagai menteri besar Kedah menjadi pemangkin sokongan kepada Pakatan Harapan di Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2017.

DR Mahathir Mohamad masih mampu menarik khalayak apabila kira-kira 20,000 orang hadir di program ceramah di Kubang Pasu dua bulan lalu, selepas lebih 13 tahun beliau meletak jawatan sebagai ahli Parlimen di negeri Jelapang Padi, Kedah.

Pada majlis “Jelajah Semarak, Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat” anjuran Bersatu itu, penduduk Kedah daripada pelbagai lapisan masyarakat meneriak  “Hidup Mahathir” ketika beliau bangun memberikan ucapan.

Sambutan hebat terhadap pemimpin berusia 92 tahun dan dua orang kuatnya – bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir dan bekas timbalan perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi keyakinan kepada Bersatu yang Kedah akan jatuh ke tangan pakatan pembangkang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahli politik pembangkang dan penganalisis mengatakan alasan pemecatan Mukhriz dan pembabitan semula Dr Mahathir dalam politik secara aktif tahun lepas bakal menumpaskan Barisan Nasional (BN) yang memenangi negeri daripada PAS pada PRU 2013 walaupun parti Islam itu percaya perlawanan tiga penjuru akan memberi manfaat kepada gabungan pemerintah.

Menurut Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail, keputusan Perdana Menteri Najib Razak memecat Mukhriz selaku MB Kedah membangkitkan gelombang kemarahan terhadap BN di Kedah.

“Pemecatan Mukhriz sebagai MB Kedah adalah faktor awal, kemudian apabila Dr Mahathir dilantik menjadi pengerusi PH, ia satu lonjakan besar untuk kami di Kedah,” kata Azman kepada The Malaysian Insight.

Katanya, sokongan kepada Umno turun mendadak, golongan muda di Kedah membuat pelbagai perhimpunan bagi membantah pemecatan itu dan menghadiri setiap program perjumpaan dengan Mukhriz.

Pengerusi Kedah Amanah Dr Ismail Salleh berkata kerjasama di kalangan parti PH boleh menyuarakan rasa tidak puas hati kepada BN.

“Saya mengaku Amanah tak kuat sebab kami parti baru, PKR tak kuat, Bersatu juga tak kuat begitu juga DAP. Tetapi apabila kami bergabung, kami penuh keyakinan akan menang,” kata Ismail.

Kerjasama politik boleh dilihat di kawasan kecil luar bandar hingga ke ibu negeri Alor Setar di mana bendera parti komponen PH, iaitu Amanah dan Bersatu, berkibar bersama bendera BN dan PAS, memberi petanda akan berlaku pertempuran sengit pada PRU yang semakin hampir.

Dan juga di Kubang Pasu, yang kini dipegang oleh Umno, Mohd Johari Baharum, timbalan menteri pertahanan yang menang besar apabila mengalahkan calon PAS, Mohd Jamal Nasir dengan majoriti 10,444 pada PRU lalu.

Angin perubahan

Sementara itu, penganalisis politik berpendapat Kedah bakal menjadi negeri paling sengit berdepan pertembungan antara BN dan PH pada PRU akan datang.

Mana-mana parti yang menang dijangka hanya akan menang dengan majoriti tipis sahaja.

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, kajian menunjukkan kawasan seperti Kubang Pasu, Jerlun dan Langkawi besar kemungkinan akan jatuh ke tangan Bersatu.

“Ketika saya balik kampung beraya baru-baru ini, bendera Bersatu memenuhi kawasan Pida di Jerlun,” katanya yang berasal dari Kedah.

Beliau juga mendapati banyak cawangan Umno sudah bertukar menjadi cawangan Bersatu di kawasan ini.

“Semasa reformasi dahulu tiada cawangan Umno bertukar jadi cawangan PAS, namun kini ada cawangan Umno yang bertukar menjadi cawangan Bersatu,” katanya.

Katanya, Amanah, DAP dan PKR pula kuat di Kuala Kedah, Alor Setar, Pokok dan Sungai Petani. Sementara BN pula kelihatan terus kuat di Padang Terap, Baling dan Sik.

BN akan menang, kata PAS

Bagaimanapun, PAS memberikan amaran yang pertarungan tiga penjuru akhirnya akan menyebabkan negeri ini ke tangan BN kerana ia akan bertanding di semua 36 kerusi negeri dan 15 kerusi Parlimen di Kedah bagi pilihan raya akan datang.

Seorang bekas pegawai kanan kerajaan negeri Kedah ketika PAS memerintah (2008 hingga 2013) bersetuju PAS akan kehilangan kerusi yang selama ini dimenangi kerana sokongan undi Cina.

“Dalam dua pilihan raya lalu, PAS menang banyak dikerusi majoriti pengundi Cina. Selepas orang Cina tidak menyokong PAS lagi, ia akan kalah di sekurang-kurangnya enam daripada lapan kerusi DUN yang dipegang PAS sekarang.

“PAS mungkin akan kekal di Tokai dan Sungai Limau dan kalah di enam kerusi lagi yang bergantung kepada pengundi Cina jika mereka tidak lagi mengundi PAS. Tetapi saya yakin PAS akan menang pula di kerusi Melayu yang dimenangi Umno sebelum ini termasuk Belantek di Sik,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di Alor Setar.

Beliau juga berpendapat, usaha memastikan pertandingan dua penjuru antara BN dan pembangkang sukar selepas pembentukan barisan pimpinan PH pada 14 Julai lalu walaupun Mukhriz masih berusaha keras untuk berbaik-baik dengan PAS di negeri itu. – 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen