Di ceramah PH, rakyat diseru lupakan sejarah pahit, bangkit lawan BN


Sheridan Mahavera

Dr Mahathir Mohamad berucap di depan kira-kira 2,000 orang di Shah Alam, malam tadi sebagai pengerusi Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Julai, 2017.

MENERUSI ceramah pertamanya sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad di depan kira-kira 2,000 orang di Shah Alam, malam tadi berkata rakyat perlu melupakan perkara lepas dan kini bersatu menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.

Beliau memberi contoh hubungannya dengan Mohamad Sabu, presiden Amanah yang pernah dipenjarakan olehnya ketika Ops Lalang, kini sudah pun berdamai dan bersatu.

Itu isi penting mesej yang disampaikan Dr Mahathir dan pemimpin PH lain pada majlis pelancaran jelajah mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Shah Alam.

Menerusi jelajah yang akan diadakan di seluruh negara itu, PH akan menjelaskan mengenai 1MDB dan ia bakal menjadi peluang kepimpinan PH menyatukan semula aktivis mereka selepas berlaku perselisihan beberapa minggu ini.

Khalayak malam tadi terdiri daripada penyokong PH di kawasan bandar yang memberitahu The Malaysian Insight mereka sudah pun tahu aspek skandal itu.

“Kami mahu meletakkan semua pemimpin di pentas sama supaya masyarakat boleh lihat perpaduan kepimpinan kami,” kata pemimpin PH, Khalid Samad daripada Amanah.

PH terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan Bersatu, parti yang diketuai Dr Mahathir pada masa ini.

Ceramah di Shah Alam itu yang menarik kira-kira 2,000 hadirin, kebanyakannya penyokong PH menjadi program rasmi pertama gabungan itu selepas ia mengumumkan barisan kepimpinannya.

Ucapan Dr Mahathir dan Mat Sabu berniat untuk menghilangkan keraguan dalam kalangan penyokong tegar pembangkang, mengenai sama ada mereka boleh mempercayai lelaki yang sama merampas kebebasan awam dan malah memenjarakan mereka.

Dr Mahathir berkongsi cerita bagaimana beliau menumpangkan Mat Sabu dalam jet peribadi dari Kuala Lumpur, selepas terlepas penerbangannya ke Johor baru-baru ini.

“Saya tawarkan dia tempat dalam pesawat itu, tetapi kalau tidak ada kerusi sekalipun dia masih boleh duduk di atas lantai.

“Lagi pun kita semua Pakatan,” kata Dr Mahathir dalam ucapannya.

“Mari kita lupakan mengenai maha firaun dan maha zalim. Mari kita teruskan perjuangan,” katanya.

Dua nama samaran itu menjadi jolokan yang diberi penyokong pembangkang terhadap Dr Mahathir pada masa lalu, ketika mentadbir negara ini selama 22 tahun.

Kira-kira dua minggu lalu, Dr Mahathir turut berbaik semula dengan ketua umum PKR Anwar Ibrahim yang selama ini menjadi musuh ketatnya.

Pada 1999, selepas dipecat daripada Kabinet Dr Mahathir, Anwar dipenjarakan atas kesalahan salah guna kuasa.

Kini, mereka berkongsi tanggungjawab memimpin PH.

Mat Sabu yang juga berkongsi cerita dalam ucapannya berkata beliau tidak pernah membayangkan yang satu hari nanti akan dijemput menyertai Dr Mahathir dalam pesawat peribadi.

Beliau ditahan di bawah Ops Lalang yang menentang persatuan sivil dan aktivis politik pada 1987, ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

“Bila saya jumpa orang sekarang, mereka tidak tanya bila pilihan raya. Mereka hanya tunjuk isyarat bagus,” katanya merujuk kepada bagaimana barisan baharu PH menjadikan gabungan itu alternatif yang menarik sekali lagi untuk menggulingkan Barisan Nasional.

Senarai itu perlu dibuat bagi membolehkan PH didaftarkan secara rasmi dan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang menggunakan bendera dan logo yang sama.

Sebelum ini, aktivis PH turut mendesak pemimpin mereka bersatu, walaupun masing-masing mempunyai sejarah silam yang sukar dilupakan.

“Anwar juga pernah menjadi ahli Umno, tetapi dia keluar untuk melawan sistem itu,” kata aktivis Amanah di Petaling Jaya Utara Raja Firdaus Raja Shaffiq.

“Jadi jika Anwar sendiri sudah berbaik-baik dengan Dr Mahathir, dan Dr Mahathir mengakui beberapa kesilapannya, jadi saya tidak nampak kenapa kita tidak boleh terima beliau.”

Raja Firdaus yang turut menyertai gerakan reformasi pertama menentang Dr Mahathir berkata beliau terima kehadiran bekas perdana menteri itu dalam PH. – 18 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen