Kita bukan menentang PKR tapi Umno, kata akar umbi PAS


Looi Sue-Chern

PAS Bahagian Permatang Pauh melancarkan jentera pilihan raya pada kawasan yang sinonim dengan Anwar Ibrahim.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2017.

PADA pilihan raya umum akan datang, besar kemungkinan PAS akan kembali bertanding di kerusi Parlimen dan negeri yang sebelum ini diberikan kepada bekas sekutunya PKR.  

Antara kerusi yang akan menyaksikan pertembungan antara PAS dan PKR adalah kerusi Parlimen Permatang Pauh – yang merupakan “kerusi tambatan” PKR yang sinonim dengan pemimpinnya yang dipenjarakan, Anwar Ibrahim.

Dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, PAS membantu kempen PKR untuk memenangi pengundi Melayu – yang menjadi 70% pengundi terutama di kawasan luar bandar dan pinggir bandar di Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya – dan mengekalkan kubu kuat PKR.

Dengan pakatan pembangkang Pakatan Rakyat dan kerjasama politik PAS-PKR yang kedua-duanya sudah tiada, PAS buat pertama kalinya dalam tempoh beberapa tahun berkempen untuk kemenangannya sendiri menentang bekas rakan sekutunya di Permatang Pauh.

Walau bagaimana sekalipun dilihat orang luar, akar umbi PAS di Permatang Pauh tidak menganggap PKR sebagai musuh. Pada segelintir mereka, PKR bukan tandingan PAS untuk dirisaukan

Umno adalah musuh, bukan PKR

Ahli PAS Bahagian Permatang Pauh dari cawangan Jalan Baru Seberang Jaya, Mansor Che Dan berkata tiada apa yang pelik mengenai partinya dan PKR.

“Ya kita pernah bekerjasama dengan bekas sekutu, dan kini kita bukan dalam pakatan yang sama. Namun musuh PAS tetap Umno,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Seorang lagi ahli PAS, Fauzi Embi turut berkongsi pandangan Mansor dan berkata: “Kami bukan rakan kepada PKR, namun ia tidak bermaksud PKR adalah musuh kami.”

Katanya, Parlimen Permatang Pauh secara tradisinya ditandingi oleh PAS untuk menentang Umno.

“Ia mungkin mencabar, tapi saya pasti PAS mampu lakukannya. Parti ini sudah bersedia. Kerja di lapangan sudah pun dimulakan,” katanya.

Sentimen mereka menggambarkan pertahanan kepimpinan PAS terhadap tuduhan parti itu menyokong Umno dan menjadikan pertembungan tiga penjuru untuk memecah undi dalam sokongan terhadap Barisan Nasional.

Ahad lalu, PAS Permatang Pauh melancarkan jentera pilihan rayanya di Kubang Semang, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad memberitahu kepada masyarakat berhubung pendirian parti Islam itu yang masih dalam blok pembangkang.

Pengarah pilihanraya PAS Permatang Pauh Amir Hamzah truut mengesahkan perjuangan untuk memenangi kerusi adalah bagi menentang Umno, bukan bekas sekutunya PKR.

“Pertandingan ini adalah dengan Umno. Itu hasil kaji selidik yang dibuat di lapangan. Nama Anwar mungkin berpengaruh di kawasan ini, tapi beliau dalam penjara,” katanya merujuk kepada hukuman penjara lima tahun Anwar berhubung kes liwat.

Kelebihan jentera berbanding PKR

Pimpinan PAS turut menyebut PKR dalam Pakatan Harapan kekurangan jentera untuk menembusi kawasan Melayu di luar bandar bagi mendapatkan sokongan.

Umum mengetahui kekuatan parti seperti PAS dan BN bergantung kepada undi luar bandar untuk memenangi pilihan raya.

Mansor merujuk kepada kemampuan BN untuk mengurangkan majoriti PKR pada pilihanraya kecil Permatang Pauh yang dimenangi oleh isteri Anwar sekali presiden PKR dan PH Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya tiada masalah untuk parti Islam itu bertanding di Permatang Pauh, kerana ia memiliki banyak pengalaman berkempen dan atur gerak jentera pada pilihanraya lalu – sama ada untuk mereka atau PKR.

“Sebelum wujudnya PR, PAS sudah bertanding di kawasan itu. Kita turut menentang Anwar ketika beliau dalam Umno. Kami akan berdepan dengan mana-mana calon dari parti lain. Tidak mengapa.

“Tidak seperti parti lain, PAS aktif di lapangan dan sentiasa bertemu pengundi menerusi program bantuan, bukan hanya pada pilihan raya sahaja,” katanya.

Tambah Mansor, semangat komuniti sangat kuat dalam kalangan ahli PAS dan penyokong untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik dan mereka inilah yang akan menilai parti politik dan calon.

Kemahuan akar umbi PAS

Ketua PAS Bahagian Permatang Pauh Omar Hassan berkata, parti itu mengkaji sentimen akar umbi mengenai situasi politik selepas parti Islam itu memutuskan kerjasama dalam pakatan pembangkang.

“Ini juga kehendak mereka. Mereka sentiasa bersama kepimpinan dalam hal ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Omar juga berkata PAS tidak memiliki sebarang isu peribadi terhadap sesiapa sahaja yang bertanding pada kerusi itu pada masa akan datang.

“Kita tidak menentang personaliti. Sebagai sebuah parti, kita memiliki pendirian sendiri yang berbeza dengan pihak lain. Kami masih berhubung secara peribadi dengan rakan-rakan PKR malah DAP juga walaupun parti kami tiada kerjasama rasmi. Kami harap semua pihak jelas tentang perkara ini,” katanya.

Kali terakhir PAS memegang kerusi Permatang Pauh adalah pada 1978 hingga 1982 selepas Zabidi Ali memenangi kerusi itu. Hanya pada tahun 1974 PAS tidak bertanding pada kerusi itu kerana ia sebahagian daripada kerusi pemerintah.  – 18 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • PAS = Parti Ajaran Sesat. PAS Terkubur selepas kematian Tok Guru NA. PAS dibawah Hadi jadi Barua Amno.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Jay Jay · Ulasan