Diskaun bulan Merdeka, separuh harga untuk MRT


Nabihah Hamid Noel Achariam

Diskaun itu diumumkan Perdana Menteri Najib Razak semasa melancarkan Fasa 2 MRT hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Julai, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak mengumumkan diskaun 50 peratus bermula esok sehingga 31 Ogos ini untuk Transit Aliran Massa (MRT) selepas melancarkan fasa 2 projek itu sebentar tadi.

Selain MRT, pengguna juga akan menikmati diskaun sama untuk tiga lagi pengangkutan dibawah syarikat Prasarana iaitu pengguna sistem Aliran Transit Ringan (LRT), Monorel dan Bus Rapid Transit (BRT).

“Hari ini (MRT) daripada pukul 4 sampai malam (12am) percuma. Dan bagi meraikan pencapaian bersejarah, diskaun sebanyak 50 peratus diberikan semua pengguna MRT, LRT Monorel dan BRT bermula esok sehingga hari merdeka.

“(Diskaun) sempena bulan merdeka,” katanya yang melancarkan MRT Fasa 2 di Stesen MRT Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur.

Najib turut menambah MRT bakal memberikan manfaat kepada 1.2 juta pengguna.

Najib turut bangga kerana kos pengangkutan yang bersifat menyeluruh dan dinikmati segala lapisan masyarakat dapat dikurangkan sebanyak RM2 bilion.

“Kos pembinaan asal laluan MRT SBK disasarkan kepada RM23 bilion tetapi dapat disiapkan RM21 bilion, dijimatkan dalam RM2 bilion.

“Saya harap semuanya sudah membuat persediaan. Projek ini adalah projek infrarakyat. Dan ini adalah merupakan titik permulaan sahaja.

Kata Najib lagi, selepas projek mega ini dijalankan ia memberikan peluang pekerjaan sebanyak 130,000.

Malah, kewujudan MRT tambang murah itu juga akan mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.

MRT Fasa 2 sepanjang 51km mempunyai 31 destinasi dengan harga bermula RM1 hingga RM6.40. – 17 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen