PAS lancar jentera pilihan raya di kubu kuat PKR, Permatang Pauh


Looi Sue-Chern

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan (kiri), naib presiden Idris Ahmad dan pengarah jentera pilihan raya PAS Permatang Pauh Amir Hamzah pada pelancaran jentera pilihan raya parti itu di Permatang Pauh hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Julai, 2017.

PAS hari ini melancarkan jentera pilihan rayanya di kawasan Parlimen paling utama milik PKR – Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Kerusi itu terlalu sinonim dengan bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan bersalah atas kesalahan meliwat.

Tetamu yang hadir di pelancaran di Kubang Semang itu agak ramai. Kira-kira 500 ahli dan penyokong tiba menyaksikan Naib Presiden PAS Idris Ahmad melancarkan jentera. Beliau sebelum itu diiringi konvoi 100 motosikal ke tempat pelancaran.

Yang dipertuanya, Omar Hassan dalam ucapannya meminta kepimpinan PAS membenarkan mereka bertanding di kerusi itu.

Idris kemudian memberitahu wartawan parti itu hanya melancarkan jenteranya di kawasan Parlimen, bukan hanya di Permatang Pauh.

Beliau berkata PAS sedang bersedia sementara menanti jawatankuasa kepimpinan negeri menghantar laporan mereka bagi pemimpin pusat membuat keputusan akhir.

Katanya, masih belum diputuskan berapa banyak kerusi yang akan ditandingi di seluruh negara, bukan saja Pulau Pinang, kerana penyelidikan masih dijalankan.

“Kami mungkin bertanding 120 atau 140 kerusi di seluruh negara. Di mana kita akan bertanding bergantung pada keputusan kepimpinan tertinggi.

“Kami perlukan laporan dari jawatankuasa negeri yang mengkaji kerusi berkenaan,” katanya.

PKR memegang dua kerusi di Permatang Pauh iaitu Penanti dan Seberang Jaya, kawasan lebih bandar. PAS memegang Permatang Pasir, satu-satunya kerusi milik parti Islam itu di negeri yang ditadbir Pakatan Harapan itu.

Diketahui umum PAS memainkan peranan penting di akar umbi untuk memenangi pengundi, terutama di kawasan luar bandar yang majoritinya Melayu, bagi Pakatan Rakyat – gabungan lama terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.

Kerusi Permatang Pauh sebelum ini ditandingi PAS. Selepas ia bekerjasama dengan PKR, PAS memberikan kerusi itu kepada parti Anwar.

Tetapi kini, tanpa kerjasama dengan PKR, PAS dijangka akan bertanding di kerusi milik PKR dan parti dalam Pakatan Harapan yang lain.

Ini akan membawa kepada pertandingan tiga penjuru yang memecahkan undi. Pemerhati meramalkan ia berpotensi merosakkan peluang Pakatan Harapan untuk merebut Putrajaya daripada Barisan Nasional. – 16 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen