Republik Malaysia dan penghapusan institusi Raja-raja Melayu


SAYA tidak bersetuju jika negara ini bertukar menjadi republik dan menghapuskan institusi Raja-raja Melayu.

Ini bukanlah kerana saya percaya kepada konsep “Divine Rights” atau hak kurnia dari langit kepada raja-raja seperti yang dihujah selama beratus tahun oleh ahli falsafah dan ahli politik Barat yang menyokong kerajaan monarki dahulu sebagai justifikasi moral kepada institusi beraja.

Kini, mereka sendiri tidak lagi percaya kepada konsep “Divine Rights” ini, namun mereka masih mengekalkan kerajaan monarki berparlimen seperti di England, Belgium, Sweden, Denmark, Sepanyol, dan Belanda, seperti juga kita di Malaysia.

Kerajaan beraja kini bukanlah seperti kerajaan monarki feudal di Eropah semasa zaman kegelapan seribu tahun dahulu.

Malah institusi beraja ini melalui pelbagai ujian dan cabaran selama beratus-ratus tahun. Ada sebabnya mengapa institusi ini telah kekal menongkah zaman walaupun di negara-negara maju.

Pada hemat saya, ada dua sebab mengapa institusi beraja di Malaysia perlu dikekalkan.

Sebab pertama ialah kontinuiti atau kesinambungan budaya, adab resam dan cara hidup.

Kerajaan dan dasar boleh bertukar setiap lima tahun, namun ada beberapa perkara perlu dikekalkan untuk kestabilan dan kesinambungan identiti, budaya dan cara hidup masyarakat di negara ini.

Budaya dan cara hidup majoriti rakyat di negara ini sejak berkurun lamanya adalah cara hidup budaya Melayu dan Islam.

Ini adalah identiti negara Malaysia. Institusi Raja-raja adalah penting sebagai pelindung dan pengekal identiti dan cara hidup ini walaupun kerajaan bertukar ganti di Parlimen dan Putrajaya setiap lima tahun.

Jika kita hilang identiti ini, maka cara hidup, adab, budaya dan bahasa kita mungkin akan hilang ditelan zaman.

Budaya dan cara hidup Melayu dan Islam di negara ini perlu dikekalkan dan dilindungi kerana ianya adalah teras dan asas kepada pegangan moral, adab, kesopanan dan kesusilaan (decency) majoriti masyarakat Malaysia.

Tanpa asas moral atau agama yang kuat, maka kesusilaan (decency) dan adab masyarakat kita akan menjadi lemah.

Sebab itu pengekalan identiti budaya, adab resam dan cara hidup ini adalah penting. Saya tidak mahu anak-anak saya tinggal dalam satu masyarakat yang tidak bertatasusila (indecent), tiada pegangan moral yang kuat dan tidak beradab.   

Sebab kedua mengapa institusi Raja-raja Melayu ini penting ialah sebagai satu institusi semak imbang terakhir kepada kuasa kerajaan dan perdana menteri.

Walaupun sistem republik tanpa institusi beraja akan mewujudkan sistem demokrasi total dengan kuasa rakyat, namun paradoksnya, sejarah membuktikan di serata dunia yang sistem demokrasi adalah terdedah kepada salahguna kuasa dan korupsi serta pemerintahan diktator akibat daripada pemusatan kuasa yang mudah dibuat dengan memanipulasi pendapat awam.

Sesuatu yang populist tidak semestinya baik untuk rakyat dan negara, dan ada kalanya berbahaya.

Sebagai contoh, demokrasilah yang memilih Hitler dalam pilihan raya negara Jerman sebagai pemimpin mereka pada awal abad ke-20.

Demokrasi juga memilih Slobodan Milosevic sebagai presiden yang menghasut majoriti rakyat Yugoslavia berbangsa Serbia untuk membunuh etnik minoriti Bosnia dalam penghapusan etnik pada awal tahun 1990-an.

Dan demokrasi juga yang tidak mampu untuk menghalang pembunuhan etnik beramai-ramai di Rwanda pada 1994 dan memburukkan lagi keadaan apabila majoriti etnik Hutu yang menguasai kerajaan melalui pilihanraya membunuh satu juta etnik minoriti Tutsi.

Saya bukan anti-demokrasi, malah saya adalah seorang yang pro-demokrasi. Sistem demokrasi adalah baik dan sehingga kini tiada sistem politik lain yang lebih baik daripada sistem demokrasi.

Namun demokrasi ini perlu disemak imbang kerana ia tidak sempurna dan pernah mengakibatkan tragedi seperti tragedi-tragedi dalam sejarah di seluruh dunia seperti di atas.

Kadang-kadang untuk mempertahankan demokrasi kita perlu melindungi demokrasi daripada dirinya sendiri.

Walaupun ada Parlimen dan mahkamah untuk semak imbang kerajaan, namun jika Parlimen dikuasai wakil rakyat kerajaan dengan kuat, maka ia tidak akan berjaya menyemak imbang kerajaan dan perdana menteri.

Dan sejarah juga pernah membuktikan mhkamah juga pernah terdedah kepada pengaruh kuasa perdana menteri.

Dan mahkamah juga pernah menjadi asbab tragedi. Contohnya di Rwanda pada 1994, bermulanya pembunuhan beramai-ramai etnik Tutsi oleh etnik majoriti Hutu adalah apabila seorang hakim mahkamah menuduh kaum etnik Tutsi yang membunuh Presiden Rwanda berbangsa Hutu yang mati akibat tembakan roket kepada helikopter dinaikinya.

Institusi Raja-raja di Malaysia ini adalah penting sebagai pelindung kesinambungan identiti, cara hidup dan budaya masyarakat Malaysia, dan sebagai institusi semak dan imbang terakhir untuk rakyat dan negara setelah institusi-institusi lain seperti Parlimen dan mahkamah tidak berjaya. Sebab itu ia penting dan perlu dikekalkan. – 10 Julai, 2018.

* Isham Jalil adalah presiden Sukarelawan Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen