Beri laluan kepada pemimpin muda, kata akar umbi PH kepada pemimpin lama


The Malaysian Insight

Pemimpin akar umbi dan penyokong Pakatan Harapan (PH) yakin satu-satunya cara untuk pakatan baharu dibentuk itu terus ke hadapan ialah dengan generasi lama memberi laluan kepada generasi pemimpin yang lebih muda. 

Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin, Wan Azizah Ismail, Lim Kit Siang hatta Mohamad Sabu dicadangkan agar menyiapkan tapak dan membuka laluan kepada pemimpin muda mereka untuk memimpin negara.

Nama seperti Mohamed Azmin Ali dan Nurul Izzah Anwar (PKR), Mukhriz Mahathir dan Syed Sadiq (Bersatu), Salahuddin Ayub dan Faiz Fadzil (Amanah) serta Tony Pua dan Liew Chin Tong (DAP) perlu diberikan peluang untuk dinamakan sebagai bakal kepimpinan negara.

Inilah topik hangat yang dibicarakan di kalangan tetamu yang menyertai pelbagai majlis Raya sejak bermulanya Syawal.

“Saya berpendapat, pengalaman parti politik di negara luar yang berjaya menonjolkan kepimpinan baru mereka perlu diambil pengajaran,” kata Yusmadi Yusoff, bekas ahli Parlimen Balik Pulau kepada The Malaysian Insight.

Katanya, kejayaan parti baru Aam Aadmi Party yang menang 67 daripada 70 kerusi di Delhi, India dengan pemimpinnya Arvind Kejriwal, 50 tahun, dilantik sebagai ketua menteri Delhi perlu diambil pengajaran.

Begitu juga dengan kemenangan Emmanuel Macron, yang baru melancarkan partinya, En Marche! pada April 2016 dan dilantik sebagai presiden Perancis pada 7 Mei lalu ketika umurnya 39 tahun juga perlu dijadikan panduan.

“Begitu juga kemenangan Anies Baswedan, 48 tahun, sebagai gabenor Jakarta dalam pilihan raya negara itu.

“Semua ini perlu dijadikan pengajaran kepada PH bahawa rakyat mahukan muka baru yang lebih segar dan baru untuk memberikan harapan baru kepada mereka,” kata tokoh muda yang juga seorang peguam itu.

Katanya, keyakinan terhadap pembangkang akan lebih meningkat sekiranya kepimpinan muda diberi peluang.

Di Maldives, mantan presiden Mohanmad Nasheed mengistiharkan penubuhan Maldives United Opposition dan menamakan barisan kabinet bayangan dengan kepimpinan muda dan beliau hanya bertindak sebagai penasihat, katanya lagi.

Bagi beliau, pemimpin kanan perlu membuka jalan dan laluan kepada tokoh baru yang tidak ada bebanan sejarah untuk memimpin negara.

Sehingga kini, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan belum berjaya menyelesaikan perbezaan pendapat antara mereka dalam menentukan struktur dan barisan kepimpinan mereka.

Akibatnya, walaupun sudah beberapa bulan berjani, PH masih belum boleh didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah gabungan politik baru dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Sebelum ini, pandangan yang serupa disuarakan oleh penganalisis politik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Intitut Kajian Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful berkata, PH perlu memberi peluang kepada Azmin Ali (PKR) dan Mukriz Mahathir (Bersatu) untuk memimpin.

“Saya fikir mereka perlu ditonjolkan berbanding dengan tokoh senior mereka,” katanya dalam satu tulisan.

Bagaimanapun ketika tulisan itu dibuat, ia dilihat terlalu awal untuk menyalahkan kepimpinan kanan Pakatan Harapan yang masih di peringkat awal perbincangan.

Namun selepas beberapa bulan gagal menyelesaikan perbezaan antara mereka, cadangan agar tokoh muda diberikan peluang untuk memimpin semakin menarik perhatian.

Yusmadi yakin, jika tokoh muda itu dinamakan sebagai bakal menteri sekiranya Pakatan Harapan menang nanti, peluang untuk rakyat memilih gabungan parti baru itu lebih cerah berbanding menamakan pemimpin yang ada sebagai bakal menteri dan sebagainya.

“Mereka boleh jadi pengemudi dan penasihat tetapi penggerak sebenar adalah tokoh muda ini,” katanya.

Permintaan agar orang lama seperti Mahathir, Anwar dan Kit Siang bersara bukan saja datang daripada orang bawahan PH tetapi juga daripada Pemuda Umno.

“Beri kami (anak muda) peluang untuk bertanding dengan aman dan dalam persaingan yang sihat,” kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin.

“Mereka (pengundi) mahu melihat nilai, komitmen dan kecekapan kami. Ini adalah politik pasca-moden dan mereka mungkin tidak memerlukan apa-apa, tetapi kami memerlukannya,” tambah menteri belia dan sukan itu.

Blogger Mohd Sayuti Omar juga menyokong cadangan Yusmadi dan mahu supaya Khairy adil dalam membuat cadangan untuk memberikan peluang kepada orang muda itu.

“Khairy sepatutnya turut meminta Najib agar bersara lebih awal kerana walaupun Najib lebih muda daripada Mahathir, Najib lebih senior daripada Mahathir dalam (aspek) skandal. Skandalnya jauh lebih besar bahkan terkenal di seluruh dunia khasnya 1MDB,” kata Sayuti.

Sayuti juga mencadangkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang agar turut bersara apatah lagi dengan keadaan kesihatannya sekarang.

“Hadi juga patut bersara dan memberikan peluang kepada orang muda termasuk timbalannya Tuan Ibrahim untuk memimpin PAS,” kata beliau yang banyak menulis tentang politik Melayu kepada The Malaysian Insight.

Profesor Dr Azmi Sharom dari Universiti Malaya pula berkata, tindakan PH terus berusaha untuk menonjol Anwar dan Dr Mahathir selaku bakal pimpinan utama negara seolah-olah membayangkan, “tidak ada orang lain” di kalangan pimpinan mereka.

“Mula-mula mereka mahukan Anwar, tak boleh sebab duduk dalam penjara. Kemudian Mahathir, dia pula ada masalah sejarah.

“Ehh, tidak ada orang lain ke di kalangan empat parti ini. Nampaknya jika begitu sikapnya, mereka terlalu terikat dengan individu bukannya falsafah dan perjuangan parti,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Menurut pensyarah undang-undang dan aktivis sosial UM itu, pembangkang perlu keluar daripada ikatan individu dan jangan mementingkan daripada parti mana mereka datang.

“Mereka perlu tonjolkan tokoh yang boleh diterima rakyat di kalangan parti mereka kerana mereka akan berkongsi kuasa di kalangan empat parti ini,” katanya. – 12 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen