Mentaliti Melayu lemah kerana pendidikan dan media, kata ahli sosiologi


Amin Iskandar

Dr Syed Hussin Ali juga berpendapat yang walaupun mentaliti orang Melayu dikawal pendidikan dan media, ia mungkin berubah sekiranya kerajaan hari ini gagal mengatasi kesukaran ekonomi yang berlaku kini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Julai, 2017.

SISTEM pendidikan dan media yang dikawal ketat kerajaan menjadi punca orang Melayu tidak berfikir secara kritikal, kata seorang ahli sosiologi mengulas kenyataan A Samad Said mengenai kurangnya kebangkitan kaum terbesar di Malaysia itu dalam membuat perubahan.

Dr Syed Husin Ali yang juga seorang ahli politik veteran pernah mengajar di Universiti Malaya selama hampir 30 tahun dalam bidang Antropologi dan Sosiologi berkata, orang Melayu dikongkong pemikirannya dari sekolah rendah hinggalah ke universiti.

“Sistem pendidikan itu sendiri tidak menggalakkan mereka untuk menyoal, tidak menggalakkan pemikiran yang kritikal dan kreatif,” kata bekas ahli Dewan Negara selama dua penggal itu dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

“Selain itu terdapat pelbagai peraturan. Bukan sahaja Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), terdapat juga akujanji dan sebagainya.”

Syed Husin pernah menulis buku bertajuk Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan dengan tajuk bahasa Inggerisnya The Malays: Their Problems and Future yang diterbitkan pada tahun 1979 dan dikemaskinikan pada 2008.

Baru-baru ini Samad yang juga sasterawan negara menyuarakan kekecewaannya terhadap orang Melayu kerana “tidak melihat kebenaran sebagai kebenaran”, sambil menambah sikap bangsanya ini membimbangkannya.

Menurut Syed Husin, media di negara ini turut memainkan peranan yang besar dalam ‘menguasai’ pemikiran sebahagian besar orang Melayu terutamanya di kawasan luar bandar.

TV yang sampai TV kerajaan. Surat khabar yang sampai ialah surat khabar yang pro kerajaan.

“Ini yang membentuk sikap dan pemikiran orang Melayu. Ini menyebabkan mereka sukar untuk berubah,” katanya.

Melayu bersikap seperti ‘minoriti’

Syed Husin berkata orang Melayu sering ditakutkan sehingga walaupun merupakan majoriti di Malaysia, mereka bersikap seperti golongan minoriti.

“Mereka sentiasa merasakan mereka ‘under siege’ atau terancam dengan kaum lain. Mereka sering ditakutkan dengan ‘ancaman’ daripada kaum lain, terutamanya Cina.

“Sehingga mereka mengatakan walau seburuknya orang Melayu atau orang Islam, zalim macam mana sekalipun, dia lebih baik daripada orang bukan Melayu atau bukan Islam,” katanya.

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, faktor ekonomi dan kedudukan kelas juga menyebabkan majoriti orang Melayu bersikap begini.

“Dari segi kelas, sebahagian besar daripada orang Melayu adalah kelas bawahan.

“Bila keadaan dia di bawah ni, dia merasa bukan sahaja terancam, tetapi lebih rendah daripada orang lain,” katanya.

Katanya, walaupun terdapat pertambahan orang Melayu menjadi kelas menengah dan peniaga besar, dari segi pemikiran mereka masih lagi tidak berubah.

“Pemikiran hampir macam serupa sahaja, kerana saya rasa pengaruh feudal itu masih kuat, adakalanya bertambah kuat.

“Walaupun ramai orang Melayu dah jadi orang bandar, kepercayaan dia masih lagi tradisional, feudal,” katanya.

Bagaimanapun Syed Husin masih lagi optimis masyarakat Melayu akan berubah jika kerajaan gagal mengatasi kesukaran ekonomi pada hari ini.

“Keadaan ekonomi semakin menyusahkan rakyat. Orang Melayu juga mempunyai sikap ‘tak mahu ditolak ke dinding.’

“Dia juga ada sikap melawan dan memberontak, macam ‘api dalam sekam’. Dalam suasana ini, boleh berlaku perubahan,” katanya. – 12 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen