Mukhriz tuntut Najib mohon maaf secara terbuka


Mukhriz memberi Najib sehingga 1 petang esok untuk memohon maaf secara terbuka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2017.

MUKHRIZ Mahathir hari ini menuntut Perdana Menteri Najib Razak memohon maaf secara terbuka kerana mendakwa Dr Mahathir mempunyai perancangan untuk menjadikan anaknya itu perdana menteri.

Najib dituntut untuk berbuat demikian sebelum 1 petang esok di mana Mukhriz akan mengambil tindakan undang-undang jika Najib gagal berbuat demikian, peguam Mukhriz, Haniff Khatri Abdulla memberitahu Malaysiakini.

“Anak guam kami berpendapat kenyataan itu diperkirakan oleh anda untuk mengganggu perbicaraan saman fitnah Mukhriz terhadap Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad mulai Khamis ini.

“Jadi, notis ini dikeluarkan untuk Najib memohon maaf secara terbuka pada atau sebelum jam 1 petang Rabu. Jika gagal, Mukhriz berhak mengambil segala tindakan atau tindakan yang ada dalam undang-undang untuk melindungi kepentingannya dengan sewajarnya,” menurut surat itu yang diserahkan ke Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Bekas menteri besar Kedah itu semalam menyifatkan tuduhan Najib terhadap bapanya “terdesak” dan “menjijikkan” dan tidak sesuai dengan kedudukannya.

Najib mengeluarkan kenyataan yang menuduh Dr Mahathir sanggup melakukan apa sahaja antaranya manipulasi, sabotaj, dan berbaik dengan musuh untuk memastikan Mukhriz menjadi perdana menteri.

“Dia taksub dengan menyelamatkan warisan keluarganya dan menjadikan anaknya Mukhriz perdana menteri,” kata Najib.

Mukhriz berkata ia adalah “sangat menjijikkan” apabila lelaki yang memegang jawatan tertinggi di Malaysia akan “merendahkan martabat” dan mengambil “langkah terdesak” sedemikian. - 10 Julai 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen