Najib salahkan Dr Mahathir lagi, kali ini tentang MAS


Diyana Ibrahim

Perdana Menteri Najib Razak mengambil gambar bersama kakitangan Kumpulan Penerbangan Malaysia di Sepang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Julai, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak hari ini menyalahkan bekas perdana menteri terdahulu yang didakwa menjadi punca kejatuhan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS).

“Kita lalui masa yang sukar. Sejarah MAS diselubungi dengan keputusan dulu yang saya kira amat teruk.

“Ia memang satu mimpi ngeri yang terjadi pada MAS. Ia dilakukan salah seorang bekas perdana menteri terdahulu,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Penerbangan Malaysia di Sepang hari ini.

Meskipun tidak menyebut nama, Najib dipercayai merujuk bekas perdana menteri itu ialah Dr Mahathir Mohamad memandangkan kedua-duanya mempunyai hubungan tidak baik.

Sehubungan itu, Najib memberi jaminan akan mengembalikan zaman kegemilangan MAS untuk mencapai semula status syarikat penerbangan tempatan terkemuka di dunia.

Katanya, MAS kini berjaya mencatat prestasi baik dimana syarikat itu dijangka akan menjadi syarikat bebas hutang pada tahun depan.

Ini susulan daripada Pelan Pemulihan 12 Perkara MAS bernilai RM6 bilion diumumkan Khazanah - pemegang saham utama MAS pada 2014.

“Alhamdulillah pelan pemulihan membuahkan hasil dimana peringkat pertama kita tumpu kepada  menstabilkan  kewangan MAS dan itu dicapai.

“Dan saya dapat mengesahkan (apabila) bercakap dengan Peter Belew (Ketua Pegawai Operasi) tadi beliau menjangkakan pada tahun depan MAS akan bebas hutang.” 

Kini kata Najib, pelan pemulihan akan memasuki fasa kedua yang menumpukan beberapa aspek seperti pelaksanaan 11 laluan penerbangan daripada China, penilaian semula produk seperti hidangan makanan, hiburan dalam kapal terbang, dan kualiti kapal terbang.

MAS mengalami kerugian enam suku tahun berturut-turut sejak 2012 dimana kerugian sebelum cukai sebanyak RM302.62 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2014.

Dan daripada kerugian itu sebanyak RM165.89 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Ditambah dengan dua insiden kehilangan pesawat Boeing 777 pada 2014 iaitu penerbangan MH370 hilang semasa dalam perjalanan ke Beijing dan penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Pelan pemulihan itu menyaksikan pengurangan tenaga kerja sebanyak 30% atau 6,000 kakitangannya terpaksa diberhentikan.

Mengulas mengenai langkah itu, Najib berkata sebanyak 98% daripada 78% daripada jumlah yang berdaftar bagi peluang pekerjaan kini sudah mempunyai pekerjaan.

“Ini menunjukkan apa yang kita hasratkan tercapai.

“Dengan langkah ini saya percaya MAS mampu meraih penarafan 5 bintang Skytrax menjelang 2018.” – 10 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen