Bukan pusingan U, matlamat jatuhkan rejim Najib, kata Dr Mahathir


Low Han Shaun

WALAUPUN berdepan masalah bekalan elektrik ketika berucap di hadapan 20,000 orang di Melaka malam tadi, ia tidak menghalang Dr Mahathir Mohamad untuk terus mengkritik pentadbiran Najib Razak berikutan serangan ke atasnya sebelum ini dan mendakwa cuba melengahkan masa sebelum pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Bersatu itu turut menyelar kritikan Umno terhadapnya yang menuduh beliau tidak bermoral dan membuat pusingan-U dalam hubungannya dengan Anwar Ibrahim serta mengatakan ia pencubaan terdesak perdana menteri untuk mengalihkan perhatian terhadap isu salah lakunya.

Dr Mahathir ketika berucap pada sambutan Aidilftri di Tanjung Kling, Melaka berkata serangan terhadapnya semakin ketara sejak kebelakangan ini berikutan pentadbiran Najib bimbang dengan pakatan pembangkang yang menjadi ancaman besar kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya tidak bekerjasama dengan Anwar atas agenda peribadi. Saya tidak bekerjasama dengannya kerana takut. Saya bekerjasama dengannya atas tujuan yang sama, untuk menjatuhkan rejim Najib.

“Saya tidak hipokrit. Saya tidak buat pusingan-U. Najib yang buat pusingan-U,” katanya.

Sepanjang miggu lalu, menteri Kabinet kanan menuduh Dr Mahathir tidak bermoral dan membuat pusingan-U selepas berkata kepada media Britain beliau akan memberi sokongan terhadap pembebasan Anwar dari penjara serta menyokong beliau menjadi perdana menteri.

Dalam ucapannya semalam, Dr Mahathir turut mencabar Najib meneruskan siasatan ke atasnya berhubung kerugian forex hampir 30 tahun lalu.

“Silakan, bawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau apa-apa siasatan ke atas saya. Jika bersalah, saya akan dipenjarakan.

“Biar RCI siasat tuduhan saya salah guna kuasa ketika menjadi perdana menteri dan menyalahgunakan dana negara.

“Sebenarnya perkara ini sudah disiasat 30 tahun lalu dan diperdebatkan di Parlimen, dan semua berpendapat saya tidak melakukan kesalahan,” katanya.

Pada majlis yang turut meraikan ulang tahun kelahiran Dr Mahathir ke-92 di Shah Beach Resort itu berlaku masalah bekalan elektrik, namun orang ramai tidak berganjak dan terus melaungkan “Hidup Tun”.

“Walaupun terdapat ancaman menjatuhkan seseorang dengan beberapa agensi sengaja menyiasat salah laku pemimpin sebelum ini, semua kerana mereka takut.

“Mereka takut kita berkerjasama dengan musuh mereka dan sengaja mengatakan saya berbaik dengan Anwar kerana takut ditangkap.”

Dr Mahathir berkata, negara ini sepatutnya akan berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi tetapi tambahnya Najib dalam ketakutan.

“Dia menunggu saat akhir, walaupun ada kemungkinan tidak akan diadakan pilihan raya. Namun kita akan terus berusaha untuk menjatuhkan beliau berdasarkan undang-undang.

“Kita berpegang kepada undang-undang. Kita tidak akan langgar undang-undang sebagaimana Najib lakukan dan kini dalam ketakutan.

“Beliau takut bila kita bersatu menentangnya pada pilihan raya umum akan datang.”

Turut hadir, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang berkata penting untuk memenangi pilihan raya umum akan datang bagi menyakinkan rakyat pakatan pembangkang boleh bekerjasama.

“Kita perlu tunjukkan kita boleh bekerjasama, tidak kira DAP, Amanah atau PKR,” katanya sambil menambah perjuangan pembangkang bagi menjamin masa depan lebih baik untuk generasi muda terutama dalam ekonomi dan pendidikan tanpa mengira kaum. – 10 Julai, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen