DAP bukan Umno, tindakan RoS boleh beri kesan sebaliknya


The Malaysian Insight

Terdapat tanda tanya sama ada pertikaian RoS dengan DAP, bermotivasi politik atau tidak yang berpotensi memberi kesan buruk kepada Umno kerana ia akan memperkukuhkan keazaman DAP untuk memenangi PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 Julai, 2017.

MENGAPA sekarang?

Mengapa selepas lebih tiga tahun membiarkannya begitu sahaja, Pendaftar Pertubuhan (RoS) tiba-tiba memutuskan pada Jumaat lalu yang pemilihan Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada September 2013 tidak sah?

Rakyat Malaysia yang berfikiran waras pastinya akan berasa ia pelik apabila RoS mula menggunakan idea lama  dan membuat keputusan ini selepas pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi.

Benar-benar kebetulan? Ia diragui.

Langkah strategik dengan kedatangan pilihan raya yang mesti diadakan dalam tempoh setahun? Sudah pasti.

Putrajaya menghormati DAP, mungkin juga takut kepada parti politik pembangkang ini. Ia adalah parti politik yang menerima lebih banyak tamparan daripada pentadbiran Najib Razak, ahli politik Umno dan media arus perdana yang dikawal kerajaan sepanjang 12 bulan.

Mereka digelar cauvinis; dituduh mengetuai penyebaran agama Kristian dan dipersalahkan segala-gala yang berlaku daripada perubahan iklim hinggalah kepada jenayah.

Tetapi parti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo, Tony Pua dan rakan seperjuangan yang lain ini masih teguh berdiri dan kukuh.

Tidak syak lagi, DAP adalah parti politik terbaik dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Selain Dr Mahathir Mohamad, ahli politik DAP yang berjaya membuatkan penampilan mereka dirasai dalam perhimpunan politik di seluruh negara. Jika ada sesiapa yang dicerca media arus perdana, ia tidak lain adalah Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng, dan Dr Mahathir.

Jika pilihan raya umum diadakan hari ini, peluang baik bagi DAP untuk mengulangi prestasi mereka pada 2013 apabila parti itu memenangi 38 kerusi Parlimen dan mengekalkan penguasaan ke atas pulau mutiara, Pulau Pinang.
Sentimen di Putrajaya adalah untuk memastikan tiada parti pembangkang yang mampu bertanding dengan mudah pada pilihan raya, terutama DAP.

Pembangkang perlu dipastikan tidak mempunyai sebarang kelebihan; mesti secara konsisten dipesongkan dengan dakwaan dan tuduhan serta perbalahan di kalangan mereka sendiri.

Mereka mesti dialih perhatian dengan perselisihan dalaman dan dilihat tidak mampu mentadbir sebuah negara atau tidak dapat mengurus parti atau gabungan sebagaimana dilakukan kerajaan persekutuan.

Pilihan raya parti boleh menghangatkan keadaan. Teorinya ialah jika DAP dipaksa membuat pemilihan semula jawatan dalam parti, kemungkinan akan ada pembentukan puak dan pertembungan ego.

Keputusannya: parti politik yang retak dan lemah, cedera akibat serangan sekutu sendiri dan tidak dapat bersatu menentang Najib dan Barisan Nasional (BN).

Masalahnya dengan teori itu ialah DAP bukanlah Umno.

Ya, Guan Eng tidak disukai di dalam parti dan mungkin terdapat beberapa serangan secara verbal yang serius dilancarkan kepada beliau semasa pemilihan parti.

Ya, semua bahagian dalam jawatankuasa kerja pusat akan dipertandingkan dalam pemilihan baharu DAP dan ini boleh menyebabkan permusuhan dan sentimen buruk di kalangan ahli parti.

Tetapi DAP bukan Umno.

Sistem kepimpinan dalam DAP tidak sama dengan yang ada di dalam Umno, di mana ketua yang tidak berpuas hati sering dapat menentukan keputusan di kawasan persekutuan atau negeri.

Ahli politik DAP tahu siapa musuhnya. Selama bertahun-tahun, ahli politik DAP di Sarawak, Perak dan Johor bukannya sering bersetuju dengan arahan Lim Kit Siang atau mendiang Karpal Singh. Sesungguhnya, terdapat dalam banyak keadaan, perselisihan mereka dibuat secara terbuka.

Tetapi apabila ia mengenai pilihan raya umum, mereka menolak segala keraguan dan fokus untuk mengalahkan musuh lebih besar – BN.

Perkara ini dijangka berlaku lagi, walaupun DAP bersetuju dan menganjurkan pemilihan parti baharu seperti diarahkan RoS dan pemilihan akan berlangsung sengit.

Apa sekalipun, keputusan terbaharu RoS dan saranan tangan tersembunyi boleh menghasilkan keputusan tidak diingini: merangsang sokongan bawahan kepada DAP dan menjadikannya ia pihak yang lebih kuat dalam PRU14. – 10 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen