Pertikaian RoS-DAP bukan perkara mudah, kata peguam


Low Han Shaun

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (tengah) dan beberapa pemimpin kanan parti turut mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Julai, 2017.

IA bukan satu perkara mudah untuk sama ada Pendaftar Pertubuhan (RoS) boleh sekadar mendenda DAP dalam isu jawatankuasa eksekutif pusat (CEC), menurut peguam.

Peguam dan bekas ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff menggariskan beberapa keadaan jika DAP akan dibatalkan pendaftarannya oleh RoS.

“Dalam keadaan paling teruk, pendaftaran DAP boleh dibatalkan jika ia enggan mematuhi arahan RoS. Dan mereka tidak akan dapat menggunakan nama dan logo ketika pilihan raya umum (PRU).

“Tetapi ia bukan begitu mudah kerana anda tidak boleh kata DAP menyalahi undang-undang sedangkan ia sudah lama wujud. Jika mereka tidak mematuhi peraturan ROS, mereka hanya perlu membuat permohonan lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Akta Pertubuhan 1966, Bahagian III daripada Seksyen 41 hingga 54, mana-mana persatuan yang menyalahi undang-undang boleh didenda hingga RM15,000 atau penjara sehingga lima tahun, bergantung pada kesalahan.

Antara kesalahannya termasuk menerbitkan propaganda persatuan tidak sah dan simbol persatuan yang tidak diluluskan.

Bagaimanapun, Yusmadi berkata RoS perlu menjelaskan mengapa mereka mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan terhadap isu DAP.

“RoS kena jelaskan kelewatan itu. Jika gagal, mereka mungkin tidak dapat membatalkan pendaftaran DAP di bawah Akta Pertubuhan.

“Itu sebabnya DAP mahu surat berkenaan, kerana RoS perlu memberi alasan mereka. Kegagalan berbuat demikian mungkin menjadikan ia keputusan sewenang-wenangnya, dan tidak boleh digunakan terhadap parti yang sudah menyertai banyak PRU,” katanya.

Walaupun dilaporkan RoS tidak ada niat membatalkan pendaftaran DAP, RoS sudah pun mengeluarkan kenyataan umum terlebih dulu meminta pemilihan CEC parti itu diadakan semula.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam Surendra Ananth berkata amat penting untuk RoS memberikan surat kepada DAP bagi membolehkan prosiding undang-undang seterusnya diteruskan.

Surendra berkata dengan surat berkenaan DAP akan dapat merayu kepada RoS untuk memberi masa kepada kedua-dua pihak bekerjasama dan menyelesaikan masalah itu.

“Pada masa itu, DAP boleh memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar keputusan berkenaan dalam tempoh tiga bulan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Terdahulu, DAP berkata mereka tidak akan mengadakan satu lagi pemilihan CEC dan akan menunggu RoS menghantar surat rasminya sebelum membuat keputusan.

Masalah DAP dengan RoS bermula selepas berlaku kesilapan teknikal dalam kiraan undi ketika pemilihan parti pada Disember, 2012.

Kesilapan itu kemudian menyebabkan ahli yang tidak berpuas hati memfailkan aduan kepada RoS menyebabkan CEC itu diisytiharkan tidak sah. DAP kemudian mengadakan pemilihan semula pada September 2013.

Susulan ketidaktentuan dengan RoS, wujud kegusaran calon DAP mungkin tidak dapat bertanding dalam PRU13 di bawah logo parti itu. Bagaimanapun, calon kemudian dibenarkan bertanding dalam PRU tanpa dicabar.

Pada Disember 2013, perwakilan dari konvensyen DAP Selangor meluluskan usul untuk mengambil tindakan terhadap RoS, jika ia terus enggan mengiktiraf CEC parti.

Bagaimanapun, pada September 2014 DAP menggugurkan tuntutan itu kerana RoS mengiktiraf kenyataannya hanya nasihat dan tidak terikat dengan undang-undang. Ini bermakna DAP masih parti berdaftar secara sah.

Perkara itu tidak disentuh lagi selama empat tahun dan dianggap selesai sehinggalah setiausaha akhbar Perdana Menteri Najib Razak iaitu Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad mengingatkan parti pembangkang itu yang CEC mereka tidak diiktiraf RoS.

RoS ialah satu jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang mengendalikan parti politik dan organisasi bukan kerajaan. Fungsi utamanya ialah untuk mentadbir dan menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966, Peraturan Pertubuhan 1984 dan dasar yang berkaitan persatuan yang ditubuhkan di Malaysia. – 9 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen