Dr Mahathir nafi sokong Anwar jadi PM


BEKAS Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan kenyataan yang diterbitkan akhbar The Guardian,  Khamis lalu yang mengatakan dia akan memberikan sokongan kepada musuh lama, Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri Malaysia akan datang.

“Sekiranya pembangkang menang (dalam pilihan raya akan datang), perdana menteri baru yang ketujuh perlu berusaha untuk membebaskannya. Sehingga itu, dia (Anwar) tidak boleh menjadi PM,” katanya kepada wartawan dalam satu majlis pelancaran buku semalam.

Dr Mahathir ditemubual akhbar harian Britain itu ketika berada di London. Bagaimanapun, dia kini nampaknya menjauhkan dirinya daripada laporan yang diterbitkan akhbar itu, yang menggambarkan dia melakukan pusingan U dalam isu musuh lamanya, termasuklah kekesalan tidak membenarkan Anwar menggantikannya dan berkuasa terlalu lama.

“Tidak, saya tidak katakan apa-apa mengenainya. Apa yang sudah berlaku, sudahlah. Sekiranya anda terus bercakap soal perkara yang dah berlaku, nampaknya kita akan ada banyak masalah,” katanya kepada The Star.

“Perlu ada perdana menteri interim. Tidak mungkin dia boleh jadi PM daripada penjara kerana dia tidak boleh bertanding (dalam pilihan raya). Kami (Pakatan Harapan) tidak membincangkan siapa yang akan jadi PM interim,” katanya. – 8 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen