Lanjutan khidmat ketua hakim negara, Najib jamin 'polisi insuran' sendiri


Bede Hong

KEYAKINAN Najib Razak untuk kekal dalam jawatannya menyebabkan dia mampu mengambil tindakan kurang disukai seperti melanjutkan tempoh jawatan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif, kata Ketua Seksyen Analisis Politik dan Sosial Institut Pulau Pinang, Wong Chin Huat hari ini.

“Hakikatnya, realiti mungkin bertentangan dengan optimisim Najib tentang ‘kebolehmenangannya’ dalam pilihan raya akan datang,” kata Wong.

“Najib takut kepada kebebasan kehakiman, yang mungkin menghantuinya selepas kehilangan kuasa nanti.”

Pelantikan Raus semalam sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan untuk tempoh tiga tahun bermula pada 4 Ogos seperti dijangka mencetuskan bantahan kumpulan perundangan Malaysia. Dia juga akan kekal sebagai ketua hakim negara, umum Jabatan Perdana Menteri. Raus dilantik sebagai ketua hakim negara pada 1 April lalu.

Wong percaya yang perdana menteri akan mampu bertahan walaupun dijatuhkan, mengatakan yang ia merupakan situasi kos berbanding manfaat.

“Untuk mempunyai ketua hakim yang rapat dan bekerjasama dengannya akan bermaksud yang dia akan selamat untuk tempoh tiga tahun lagi, dan dua tahun selepas kemungkinan berlakunya PRU 14.

“Ketika itu, ada kemungkinan besar yang Najib perlu turun, jika Umno dan BN hanya menang sedikit kerusi. Pelanjutan itu nampaknya kelihatan seperti polisi insuran,” kata Wong.

Bekas presiden Mahkamah Rayuan itu sepatutnya berundur daripada jawatan selepas mencapai umur persaraan wajib pada 66 tahun dan enam bulan pada 4 Febuari. Bagaimanapun, khidmatnya dilanjutkan sehingga 3 Ogos, sebelum menerima lantikan semalam.

Peguam mengkritik pelantikan itu. Majlis Peguam dijangka akan mengeluarkan kenyataan selepas mesyuarat majlis mengenai perkara itu hari ini.

“Dalam soal kos, pelanjutan Raus akan menimbulkan kemarahan ramai pengundi, tetapi hampir semua mereka pula agaknya sudah membuat keputusan untuk tidak mengundi Najib ketika pilihan raya pun,” kata Wong, menambah yang kebanyakkan pengundi lain pula mungkin tidak peduli tentang kebebasan badan kehakiman sehingga masih sanggup memberikan undi kepada Najib dan Umno.

“Mereka lebih peduli tentang isu makan minum atau dominasi kumpulan kaum atau agama mereka.”

Wong berkata lagi yang tidak ramai pengundi atas pagar yang tinggal. Sebilangan mereka mungkin terlalu jengkel dengan politik untuk turun mengundi, yang seterusnya akan membantu Najib kekal berkuasa.

“Najib mampu berdepan dengan semua peguam yang mengkritik (tindakan pelanjutan) dan mampu menanggung kehilangan sedikit undi,” kata Wong.

“Jadi dengan perlindungan hebat dengan sedikit risiko politik, tindakan terbaru Najib masuk akal. Dia seorang ‘survivor’ tanpa rasa bersalah atau malu,” katanya.

Bekas Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata perlantikan Raus melanggar Perlembagaan dan tidak mempertimbangkan hakim lain yang juga berkemampuan.

“Walaupun Ketua Hakim Raus dan Presiden Zulkefli kedua-duanya hakim yang arif dan bijaksana, pelantikan mereka melanggar Perlembagaan,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

“Tambahan pula, ia (perlantikan) itu tidak mempertimbangkan hakim Mahkamah Persekutuan lain yang juga mampu dan layak mengisi jawatan itu- seperti Ahmad Maarop, Richard Malanjum, Zainun Ali, Zaharah Ibrahim dan Azahar Mohamed- itu tidak termasuk lagi beberapa orang hakim sedang berkhidmat di Mahkamah Rayuan yang akan dinaikkan pangkat beberapa tahun lagi. Tiada alasan diberikan untuk pelanjutan tempoh jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan,” katanya.

Lim berkata yang terdapat “sebab mencukupi” pelantikan itu melanggar Perlembagaan.

“Pertamanya pelantikan hakim tambahan Mahkamah Persekutuan hanya boleh dilantik daripada kalangan hakim yang sudah bersara. Kedua, jawatan pegawai kehakiman tidak boleh diisi hakim tambahan Mahkamah Persekutuan yang merupakan kategori hakim berbeza di Mahkamah Persekutuan.

“Cadangan pelanjutan umur persaraan untuk hanya hakim Mahkamah Persekutuan (selaku mahkamah tertinggi) dan tidak melibatkan hakim tinggi lain di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sendiri ialah diskriminasi tanpa sebab,” katanya.

Pelanjutan Raus ialah yang terbaru dalam siri pelantikan dibuat Najib untuk kedudukan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan dan institusi awam.

Sebelum ini bekas CEO Celcom Bhd Mohammed Shazali Ramly dilantik sebagai pengarah urusan dan CEO kumpulan Telekom Malaysia pada 1 Mei; perunding media Habibul Rahman Kadir Shah pula dicalonkan untuk jawatan pengarah Malaysia Airlines Bhd juga pada Mei lalu serta bekas CEO Lembaga Tabung Haji Ismee Ismail yang dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Media Prima Bhd pada 1 Jun.– 8 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen