Ketua hakim negara dilantik 'hakim tambahan' walaupun ada kebimbangan perlembagaan


Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif akan dilanjutkan tiga tahun lagi. – Gambar www.kehakiman.gov.my, 7 Julai, 2017.

KETUA Hakim Negara Md Raus Sharif dilantik sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan untuk tempoh tiga tahun lagi berkuatkuasa 4 Ogos, menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurut Bernama, Md Raus, selain menjadi hakim tambahan turut dikekalkan sebagai ketua hakim negara.

Pengumuman JPM itu turut menyatakan yang Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin juga dilantik sebagai hakim tambahan untuk Mahkamah Persekutuan bagi tempoh dua tahun bermula 28 September 2017.

Dia juga akan terus memegang jawatan presiden Mahkamah Rayuan.

Pelantikan itu dilakukan sebelum tarikh persaraan wajib mereka tahun ini pada usia 66 tahun dan enam bulan.

Pelantikan itu dilakukan selaras dengan Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim atasan perlu bersara selepas mencecah umur 66 tahun dan enam bulan. Bagaimanapun, Perkara 122 (1A) membolehkan pelantikan hakim tambahan yang tidak mempunyai had umur.

Sebelum pelantikan mereka, bekas Ketua Hakim Negara Abdul Hamid Mohamad berpandangan yang Perkara 122(1A) tidak boleh dijadikan alasan untuk melanjutkan khidmat ketua hakim negara.

Hamid juga mengatakan yang pelantikan hakim tambahan perlu dilakukan menerusi cadangan ketua hakim negara, yang bermakna ketua hakim tidak boleh mencadangkan dirinya sendiri sebagai hakim tambahan.

Kerana itu, katanya hakim tambahan tidak boleh menjadi ketua hakim negara.

Bagaimanapun, JPM hari ini berkata yang pelantikan Md Raus Sharif dan Zulkefli Ahmad dilakukan atas cadangan bekas ketua hakim sebelum ini Arifin Zakaria yang bersara pada 30 Mac 2017.

“Pelantikan Md Raud Sharif dan Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan setelah masing-masing mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan adalah atas sembah cadangan dan nasihat ketua hakim negara ketika itu, (Yang Amat Arif) Ariffin Zakaria kepada Yang di Pertuan Agong pada 30 Mac 2017 sebelum Yang Amat Arif bersara,” kata kenyataan itu. – 7 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen