Gandingan Dr Mahathir-Anwar kuatkan PH, mampu singkir BN, kata pemimpin 


Amin Iskandar

Pemerhati politik tanah air yakin kerjasama Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim mampu menjadi kekuatan yang bakal mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat bagi menyingkirkan kerajaan kleptokrat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2017.

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH), menyambut baik kenyataan Dr Mahathir Mohamad semalam, mengatakan gandingan bekas perdana menteri itu dan Anwar Ibrahim akan kembali mengukuhkan gabungan pembangkang yang selama ini dilihat retak.

Mereka berkata, kenyataan pengerusi Bersatu itu sekaligus menamatkan perseteruan di antara Dr Mahathir dan Anwar yang berlaku sejak 1998 ketika kedua-duanya masih bersama Umno dan kerajaan.

“Gandingan Dr Mahathir-Anwar serta seluruh kepimpinan PH dan jenteranya adalah kekuatan yang bakal mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat bagi menyingkirkan sebuah kerajaan kleptokrat yang rakus serta hilang arah,” kata Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad kepada The Malaysian Insight.

“Apakah sudah sampai waktu dan detiknya yang dinanti-nantikan rakyat supaya ‘agenda tertangguh’ untuk menobatkan anak didiknya Anwar akan tertunai jua akhirnya?”

Dalam temubual bersama akhbar Britain The Guardian yang disiarkan semalam, Dr Mahathir mengatakan beliau tiada masalah menyokong Anwar menjadi perdana menteri selepas dibebaskan daripada penjara.

Pada 1998, Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno di atas tuduhan liwat. Anwar kemudiannya dipenjarakan di atas tuduhan salah guna kuasa.

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang berkata, Dr Mahathir dan Anwar “berjiwa besar” kerana sanggup mengenepikan perbezaan dan bersatu untuk melakukan perubahan di Malaysia.

“Isunya bukan mengenai siapa bakal jadi PM, tetapi Dr Mahathir dan Anwar berganding bahu untuk melakukan perubahan.

“Ini merupakan perkara besar dalam sejarah politik Malaysia,” kata ahli Parlimen Batu itu.

Perseteruan Dr Mahathir-Anwar

Sebelum dipecat pada 1998, Anwar merupakan anak didik Dr Mahathir yang diberikan laluan mudah dalam Umno dan kerajaan sehingga menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Gandingan kuat dua pemimpin itu dalam Umno dan kerajaan dianggap “tidak terkalahkan” sehinggalah krisis ekonomi melanda Malaysia pada akhir 1990 an dan tercetusnya perbezaan pendapat sehingga menyebabkan Dr Mahathir memecat Anwar.

Selepas berpecah, kedua-dua tokoh itu menjadi musuh ketat dalam politik Malaysia sehinggalah pada September 2016 apabila Dr Mahathir hadir ke mahkamah bagi menyokong Anwar memfailkan saman menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Bagaimanapun sebahagian penyokong Anwar dalam PKR masih tidak berpuas hati kerana Dr Mahathir masih belum meminta maaf secara terbuka kerana “menzalimi” ketua umum PKR itu.

Ia juga menyebabkan PH masih lagi tersekat untuk menamakan senarai pimpinan mereka untuk dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, mereka akan bekerjasama dengan Dr Mahathir dan Anwar untuk melakukan perubahan politik di Malaysia.

“Perdamaian di antara kedua-dua pemimpin yang sudah melalui permusuhan dan kepahitan selama berdekad ini merupakan satu langkah besar untuk menyatukan dan menguatkan kembali pembangkang,” kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Sementara itu, Ketua Biro Dasar dan Strategi Bersatu Dr Rais Hussin berkata Dr Mahathir tahu apa yang diperlukan bagi memastikan PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Sekarang gabungan pembangkang perlu fokus mengenai struktur dan senarai pimpinan yang tepat dalam mengambil tanggungjawab menyelamatkan negara.

“Manifesto pilihan raya perlulah selari dengan kehendak rakyat. Ia perlulah merangkumi isu-isu dihadapi rakyat setiap hari terutamanya peningkatan kos kehidupan,” katanya.

PH dijangka akan mengadakan mesyuarat pertengahan minggu depan sekaligus mengumumkan senarai pimpinan dan logo sebelum menghantarnya kepada RoS untuk menjadi sebuah gabungan berdaftar.

Pendaftaran PH tertangguh selama dua bulan menyebabkan penyokong mereka dan aktivis kecewa. – 7 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen