Tak perlu pasukan perundangan UK, perjuangkan hak Sarawak dulu


Bede Hong

MENGANGGAPNYA sebagai lakonan politik, pemimpin pembangkang Sarawak dan aktivis yang mahukan autonomi negeri lebih besar mengecam langkah Kuching untuk menghantar pasukan guaman ke London untuk mengkaji Perjanjian Malaysia, sebagai usaha sia-sia.

Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata pasukan itu yang akan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali akan ke UK untuk mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi rujukan mengenai hak negeri.

Bagaimanapun, wakil rakyat pembangkang merendahkan pengumuman itu, berkata ia hanya drama untuk meredakan rakyat Sarawak yang semakin gelisah dengan apa dilihat sebagai hak mereka semakin terhakis oleh kerajaan persekutuan.

“Nampaknya Barisan Nasional (BN) sudah memulakan lawatan tahunan ke UK atas nama memperjuangkan autonomi,” kata Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen, merujuk kepada pengumuman Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian pada 15 Julai tahun lalu yang parti itu menghantar jawatankuasa khas ke UK untuk mengkaji mengenai MA63.

“Bagi kebanyakan rakyat Sarawak yang faham kerja kerajaan, ini hanya drama kerajaan hari ini untuk membodohkan rakyat (bagi mempercayai) mereka serius mengenai memperjuangkan autonomi Sarawak,” katanya yang juga ahli Parlimen Bandar Kuching.

Adun DAP Bukit Assek Irene Chang berkata jika benar kerajaan ikhlas dalam memperjuangkan hak Sarawak ialah dengan cara memastikan wakil rakyat mempertahankan pendirian di Parlimen bila ada rang undang-undang yang tidak memberi manfaat kepada negeri dibentangkan.

Chang berkata ahli Parlimen Sarawak perlu tampil menentang kerajaan dalam mendesak apa yang memang hak negeri bila membabitkan isu seperti kenaikan royalti minyak, autonomi pendidikan dan perkara lain.

“PRU14 tidak lama lagi. Bila lagi masa terbaik untuk berjuang menunjukkan keseriusan kita dengan menuntut kembali hak kita.

“Bercakap menerusi kerusi Parlimen, bukannya main retorik sepanjang masa,” kata Chang.

Tahun lalu, SUPP membentuk jawatankuasa khas dipanggil “Sarawak Autonomy and Devolution of Powers” diketuai naib presiden Lee Kim Shin dan turut disertai peguam dan ahli sejarah.

Jawatankuasa itu menjalankan kajian mengenai Perjanjian Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, Laporan Suruhanjaya Cobbold dan peruntukan lain yang berkenaan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sim memberitahu wartawan tahun lalu yang jawatankuasa itu juga baru-baru ini memperoleh dokumen daripada arkib British, termasuk dokumen merekodkan syarat pemberian status kerajaan sendiri kepada Sarawak bertarikh 22 Julai, 1963.

Chong daripada DAP yang juga seorang peguam berkata pasukan SUPP mendakwa menyerahkan dokumen asal kepada Adenan Satem (bekas ketua menteri) untuk memperjuangkan autonomi Sarawak.

Bagaimanapun, usaha parti itu terus senyap.

“Jika mereka sudah dapat dokumen asal, apa lagi yang pasukan perundangan Abang Johari sekarang akan jumpa?

“Ini terus membangkitkan persoalan mengenai apa yang SUPP bawa balik dari arkib di UK. Apa yang dilakukan terhadap dokumen bersejarah yang dibawa pulang ke sini,” soal Chong.

Jurucakap kumpulan pro autonomi Sarawak For Sarawakians (S4S) Peter John Jaban berkata beliau berharap dengan menghantar pasukan perundangan ke UK, ia bukan hanya sekadar pertunjukan sebelum pilihan raya.

“Rakyat Sarawak sudah tidak larat membutakan mata sekali lagi seperti apa yang berlaku selama ini.

“Diharapkan parti politik tidak mempolitikkan usaha penting ini bagi memastikan perkara dalam MA63 dipenuhi.

“Rakyat Sarawak hanya bimbang jika ini sekadar lakonan untuk memenangi hati pengundi, memandangkan pilihan raya semakin hampir,” katanya. – 3 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen