DAP akan bekerjasama dengan Dr Mahathir selamatkan Malaysia


Asila Jalil

Bukanlah bermaksud semua yang dia lakukan sudah dimaafkan atau dilupakan sepenuhnya, tetapi kita ada masalah lebih besar didepan, kata Guan Eng merujuk kepada kerjasama Dr Mahathir dan DAP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Julai, 2017.

UNTUK selamatkan Malaysia, DAP akan bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad walaupun parti itu masih belum memaafkan sepenuhnya bekas perdana menteri itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu perlu “berfikir perkara yang tak terfikir” untuk menyelamatkan negara ini- termasuklah bekerjasama dengan orang yang bertanggungjawab memenjarakannya sebanyak dua kali.

“Ia bukan mudah. Bukanlah bermaksud semua yang dia lakukan sudah dimaafkan atau dilupakan sepenuhnya, tetapi kita ada masalah lebih besar didepan.

“Mari bekerjasama dengan mereka yang mahu berjuang menentang ketidakadilan korupsi supaya kita boleh selamatkan negara kita,” kata ketua menteri Pulau Pinang itu.

Lim berkata pujian perlu diberikan kepada Dr Mahathir kerana meninggalkan Umno untuk menyertai pembangkang bagi melakukan yang terbaik demi negara.

“Dia putuskan untuk tinggalkan Umno, yang dia ketuai selama 22 tahun untuk selamatkan Malaysia.”

Lim berkata yang negarawan itu bersedia menempuh jalan sukar selaku pembangkang, bersedia di hukum, dan dikecam setiap hari dalam media sepertimana yang DAP sudah hadapi sejak 40 tahun lepas “kerana tidak dapat disangkal lagi Malaysia dalam bahaya”.

Lim berkata dia dan Dr Mahathir mungkin ada perbezaan, keputusan parti untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir mungkin tidak diterima semua orang, tetapi semua ini diketepikan demi negara.

Lim berkata ketika idea DAP bekerjasama dengan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diperkenalkan, perkara pertama yang dia fikirkan ialah tentang ayahnya, Lim Kit Siang.

“Dia masuk penjara dua kali disebabkan (Dr Mahathir) tetapi dia (Kit Siang) mengatakan yang dia bersedia mengetepikan masalah peribadinya kerana negara lebih penting,” kata Lim di Bandar Utama, Selangor hari ini.

Mengenai pilihan raya umum akan datang pula, Lim memberikan jaminan yang barisan pembangkang “sudah bersatu” dan bersedia untuk mendepani pilihan raya itu.

“Kalau anda masih ingat, pada 2008 kami kurang bersedia tetapi kami masih memenangi lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga (BN) buat pertama kali,” kata Lim.

Katanya lagi rakyat Malaysia memang terkesan dengan kegagalan kerajaan untuk mengatasi masalah ekonomi dan pengenalan GST.

Lim mengulangi kata-kata Dr Mahathir yang berkata negara di bawah pentadbiranyannya akan terus makmur tanpa GST serta tanpa skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Sekiranya kita bersih, kita boleh dapat wang. Penang catat lebihan setiap tahun walaupun kami tidak terima wang daripada kerajaan pusat.

“Hutang kami jatuh sebanyak 90% dan simpanan kami lebih daripada 100% kerana kami tidak rompak duit rakyat. Apabila kita tidak libatkan diri dalam korupsi, kerajaan akan dapat wang.

“Kalau kita boleh buat ini di Pulau Pinang, kita boleh buat di Putrajaya.” – 2 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen