Siasat ‘pengkhianat’ bersekongkol dengan DoJ, kata Pemuda Umno


KETUA Pemuda Umno Kedah menggesa pihak berkuasa Malaysia menyiasat beberapa individu yang bersekongkol dengan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS), dan menggambarkan mereka sebagai “pengkhianat”.

Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata siasatan perlu dijalankan kerana tindakan DoJ kebelakangan ini dilihat “aneh” dan “terpilih” sehingga menampakkan seolah-olah wujudnya konspirasi oleh pihak tertentu yang mahu mewujudkan tekanan dari luar terhadap kerajaan.

“Kami amat kesal dengan apa yang berlaku kerana kebencian terhadap pemimpin tertentu dijadikan sebagai agenda terlalu peribadi sehingga memungkinkan mereka bersekongkol dengan pihak asing sekali gus menjatuhkan kredibiliti kerajaan sedia ada,” katanya dipetik daripada Utusan Malaysia.

Shaiful berkata semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang berkompromi sama sekali terhadap golongan pengkhianat ini dan melihat perkara ini sebagai tanggungjawab kenegaraan yang harus dipikul bagi memelihara kedaulatan negara.

“Malangnya ketika ini ada pihak tertentu yang sengaja mengetepikan perkara itu kerana mereka tidak mahu menerima hakikat isu 1MDB sudah dijawab kerajaan selain langkah rasionalisasi juga dijalankan,” katanya.

Pemimpin Umno lain juga mengkritik DoJ dan menolak saman sivil yang difailkan untuk merampas aset didakwa dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB, syarikat pelaburan negara.

DoJ memfailkan saman ketiga awal bulan ini, memohon untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) termasuk karya seni Van Gogh, barang kemas dan hak filem, yang didakwa dibeli menggunakan wang yang diselewengkan.

Semalam Peguam Negara Apandi Ali menuduh DoJ bertindak atas dorongan politik.

1MDB dikaitkan dengan Perdana Menteri Najib Razak yang sebelum ini menjadi pengerusi pembaga penasihatnya. – 28 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen