Hadi lucutkan jawatan, Tuan Ibrahim lantik kembali, adakah PAS dalam masalah?


Zulkifli Sulong

MUSTAFA Ali dilantik sebagai pengerusi lembaga penasihat PAS, satu badan baru yang dibentuk parti Islam itu ketika Tuan Ibrahim Tuan Man memangku jawatan presiden PAS.

Perlantikan Mustafa dibuat selepas beliau tidak dilantik memegang sebarang jawatan dan digugurkan dari jawatan ketua pengarah pilihan raya PAS oleh mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang 6 Mei lalu.

Perlantikan Mustafa dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan pemangku presiden PAS Tuan Ibrahim, ketika Hadi berehat selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Hadi menjalani pembedahan jantung pada 16 Mei lalu dan kini sedang menjalani rehat panjang selepas dinasihatkan doktor dan Tuan Ibrahim memangku tugas presiden PAS.

Selain Mustafa sebagai pengerusi, turut dilantik sebagai ahli Lembaga Penasihat itu adalah tokoh veteran politik PAS iaitu Dr Sanusi Daeng Mariok (bekas naib presiden), Abdul Halim Abdul Rahman (bekas bendahari PAS Pusat dan timbalan menteri besar Kelantan) dan Subky Latif (penulis veteran PAS).

Dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat 6 Mei yang dipengerusikan Hadi, jawatan Mustafa sebagai ketua pengarah pilihan raya, diambil alih setiausaha politik Hadi, Dr Samsuri Mokhtar.

Keputusan ini menjadikan buat pertama kali Mustafa tidak berada dalam pucuk kepimpinan utama PAS sejak dilantik menjadi ketua pemuda PAS pada tahun 1975 lalu.

Mustafa, 72, yang sihat dan aktif ketika dihubungi berkata, beliau dimaklumkan secara lisan tentang perlantikan itu namun tidak menerima sebarang surat perlantikan lagi.

“Saya difahamkan perlantikan saya dibuat dalam mesyuarat kedua yang dipengerusikan oleh Tuan Ibrahim,” kata Mustafa ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Tuan Ibrahim ketika dihubungi turut mengesahkan perlantikan Mustafa.

“Ya. Dia pengerusi,” katanya kepada The Malaysian Insight melalui sistem pesanan Whatapps.

Sehingga berita ini ditulis tidak ada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh PAS mengenainya.

Perlantikan Mustafa dilihat sebagai usaha untuk membawa balik ahli politik veteran dan pakar strategi pilihan raya PAS itu oleh Tuan Ibrahim selepas diketepikan oleh Hadi.

“Hadi buang, Tuan Ibrahim bawa balik,” kata penganalisis politik, Mohamad Hisomuddin Bakar yang banyak mengkaji mengenai politik PAS.

Bagi pengerusi eksekutif pusat kajian Ilham Centre itu, ke empat-empat tokoh politik veteran yang dibawa oleh Tuan Ibrahim itu akan membawa perimbangan kuasa dalam PAS. – 27 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen