Hadi jahil atau rakan Umno, kata pakar undang-undang


Bede Hong

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dikecam kerana mengatakan skandal kewangan seperti BMF, Perwaja Steel, Tabung Haji dan 1MDB, harus diselesaikan secara dalaman tanpa melibatkan bantuan orang luar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2017.

PAKAR undang-undang dan aktivis mengecam Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana bersikap jahil apabila mengatakan skandal kewangan, seperti 1MDB, harus diselesaikan tanpa bantuan pihak asing.

Mereka berkata kesalahan yang didakwa dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dilakukan di Amerika Syarikat dan ia berhak bertindak terhadap pelaku.

Hadi pada Khamis menerbitkan surat terbuka, mengatakan skandal kewangan seperti BMF, Perwaja Steel, Tabung Haji dan 1MDB, harus diselesaikan secara dalaman berbanding menjemput bantuan asing.

Peguam Ambiga Sreenevasan berkata tiada sebarang tindakan undang-undang di Malaysia, dengan agensi penguatkuasaan tempatan melengah-lengahkan siasatan terhadap 1MDB, manakala Jabatan Kehakiman AS (DoJ) mengajukan tiga saman sivil untuk merampas aset yang dibeli dengan dana berjumlah AS$4.5 bilion (RM19.4 bilion) didakwa diambil daripada firma pelaburan negara.

“Sudah tentu, ramai yang gembira kerana ada sesuatu sedang dilakukan di luar negara tentang ibu semua skandal ini kerana penguatkuasa undang-undang di Malaysia tidak melihat sebarang kesalahan walaupun terdapat bukti besar yang berlawanan,” kata Ambiga, yang juga presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam).

Mengenai surat terbuka Hadi, bekas pengerusi Majlis Peguam itu berkata, ia mencerminkan “salah faham” tentang ciri tanpa sempadan aktiviti jenayah yang berkaitan dengan 1MDB.

“Ia tidak terhad kepada Malaysia. Ia bersifat antarabangsa. Dan setiap kerajaan luar, bagi setiap jenayah yang dilakukan di sana, ia mempunyai hak untuk mengambil tindakan. Kita tidak boleh menghentikannya,” kata Ambiga.

“Sebenarnya, kita tidak sepatutnya mengganggu sistem perundangan mereka dan memberitahu mereka apa yang tidak atau boleh dilakukan. Mencadangkan ia ditangani secara domestik adalah sia-sia. Kami tahu tiada apa yang akan berlaku walaupun peguam negara nampaknya meminta polis untuk menyiasat lebih lanjut.”

Pemimpin ‘myopic’

Hadi berkata sama ada pihak berkuasa mengendalikan skandal kewangan dengan “sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri”.

“Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh. Tiba-tiba mahu menjemput sekali lagi bekas penjajah itu atau membuka pintu supaya datang menyelesaikan masalah kita,” katanya.

Ramon Navaratnam, seorang pakar ekonomi yang mengetuai pemikir Pusat Pengajian Dasar Awam, berkata Hadi “sangat defensif dengan status quo”.

“Kita tidak boleh menjadi ‘myopic’ (tidak berpandangan jauh) dan hidup sendiri,” kata bekas pengerusi Transparency International.

“Kita perlu berfikiran terbuka dan berpandangan jauh. Kita perlu mengalu-alukan kritikan membina,” kata Ramon.

DoJ meneruskan tindakan undang-undang pada 15 Jun untuk merampas aset AS$540 juta yang dipercayai dibeli dengan wang dicuri daripada 1MDB kerana jenayah itu dilakukan di AS.

Seminggu sebelumnya, ia memfailkan saman merampas harta di London yang didakwa dibeli dengan dana 1MDB.

Saman terkini adalah paling penting sejak Julai lalu apabila pihak berkuasa AS pertama kali mengisytiharkan rakyat Malaysia ditipu dalam skala besar berkaitan dengan 1MDB.

DoJ sedang berusaha merampas, antara lain, Low Taek Jho, atau Jho Low, kapal layar mewah bernama Equanimity, bernilai AS$165 juta, karya seni, barang kemas dan hartanah di New York serta Los Angeles.

“Hadi perlu sedar Jho Low dan rakan-rakannya dituduh mengambil dana berkaitan 1MDB dan membersihkannya di seluruh dunia,” kata Cynthia Gabriel, pengarah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

“Jadi, negara di mana wang itu dibelanjakan  disiasat, seperti hak mereka sendiri,” kata Cynthia, yang baru-baru ini menyampaikan Anugerah Demokrasi 2017 oleh National Endowment for Democracy yang berpangkalan di AS.

Ironinya, Cynthia berkata gesaan Hadi dapat dilihat sebagai usaha agar Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula kes itu, berdasarkan fakta baru daripada pemfailan saman AS baru-baru ini.

Rakan Umno

“Hadi kedengaran seperti seorang menteri Umno,” kata Azmi Sharom, profesor undang-undang di Universiti Malaya.

“Ini adalah bahasa emosi yang biasa digunakan untuk melindungi hakikat dana 1MDB digunakan di AS, bercanggah dengan undang-undang mereka dengan tindakan DoJ,” katanya.

Surat terbuka Hadi juga boleh menjadi percubaan untuk memperjuangkan dasar luar bandar PAS.

“Adakah orang Melayu begitu terpempan apabila anda menyebut Islam dan penjajahan sehingga mereka tidak dapat melihat dengan jelas? Hadi fikir begitu!”

Pada 15 Jun, pemangku Peguam Negara AS Kenneth Blanco berkata: “Kami tidak akan membenarkan AS menjadi tempat di mana individu yang korup boleh mengharapkan untuk menyembunyikan aset dan membelanjakan wang yang banyak yang sepatutnya digunakan untuk faedah rakyat negara lain.”

Sama ada 1MDB atau “Malaysian Official 1” (MO1), yang dipercayai oleh DoJ menjadi penerima dana kira-kira AS$1 bilion, dinamakan sebagai defendan dalam saman jenayah AS.

MO1 sebelum ini dikenal pasti sebagai Perdana Menteri Najib Razak oleh menteri Abdul Rahman Dahlan.

Peguam Negara Malaysia, Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib dari sebarang kesalahan. – 27 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen