Erdogan sifatkan 13 tuntutan kepada Qatar langar peraturan antarabangsa


Turki mempunyai pangkalan tentera di Qatar dan menyifatkan 13 tuntutan negara Teluk kepada Qatar melanggar undang-undang antarabangsa. – Gambar EPA, 25 Jun, 2017.

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan mengalukan tindakan Qatar mengenetepikan tuntutan Arab Saudi dan sekutunya ketika krisis Teluk semakin membahang dan menyifatkan tuntutan itu “melanggar undang-undang antarabangsa.”

“Kami mengalukan (pendirian Qatar) kerana kami merasakan senarai 13 tuntutan itu melanggar undang-undang antarabangsa,” kata Erdogan seperti dipetik agensi berita negara Anadolu.

Qatar semalam mengumumkan yang tuntutan itu tidak berasas dan mencabuli kedaulatan negara itu.

Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir mahukan Qatar memenuhi 13 tuntutan itu sebagai balasan menghentikan larangan dan sekatan diplomatik dan ekonomi yang sudah berlanjutan selama tiga minggu.

Kerajaan empat negara Arab itu menyampaikan tuntutan itu kepada Qatar menerusi pihak ketiga Kuwait pada Khamis lalu, selepas lebih dua minggu memutuskan semua ikatan dengan Qatar dan melaksanakan embargo.

Dokumen itu yang masih tidak diterbitkan tetapi sudah bocor termasuklah penutupan agensi berita Al-Jazeera, punca konflik utama antara Doha dan negara jiran yang menuduhnya menyemarakkan krisis di negara mereka.

Selain itu, Doha juga disuruh menutup pangkalan tentera Turki di negara itu.

Hari ini Erdogan mengatakan yang permintaan supaya mengundurkan tentera Turki dari Qatar sebagai “tidak menghormati Turki.”

Parlimen Turki bulan ini meluluskan undang-undang membenarkan Ankara menghantar beberapa ribu tentera ke pangkalan tentera Turki di Qatar.

Sejak krisis tercetus antara Doha dan negara jirannya, Erdogan sudah berjanji akan mempertahankan Qatar dan menolak dakwaan negara itu menyokong keganasan.

Tetapi Ankara tidak mengecam Arab Saudi secara langsung, sebaliknya mendesak Riyadh mengambil peranan utama bagi menyelesaikan krisis itu. – AFP, 5 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen