Konflik Ramadan tak halang pemimpin berbeza agama cari persamaan


Asila Jalil

Forum dan dialog antara agama mengenai konsep berpuasa dalam pelbagai agama dihadiri masyarakat berbilang bangsa dan agama di Klang, Selangor hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Jun, 2017.

KETIKA konflik agama sedang berlaku di dalam dan luar negara, satu dialog antara agama diadakan di Klang hari ini untuk meraikan kesamaan, bukannya perbezaan.

Speaker beragama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian berkongsi pandangan mereka mengenai makna berpuasa dan bagaimana agama lain melihatnya.

Penaung Maha Vihara Malaysia Vijaya Samarawickrama berkata puasa juga penting dalam agama Buddha kerana ia cara untuk mencapai kerohanian.

“Bila kita menafikan apa yang badan minta, kita naikkan diri sendiri kepada kerohanian lebih tinggi.

“Berpuasa membolehkan kita menambah rasa belas, ambil berat terhadap orang lain dan mengalami kerendahan hati yang makanan datang dari alam,” katanya.

Ahli Parlimen Parti Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa berkata konsep berpuasa ialah sebahagian asas kepada semua agama.

“Daripada kesusasteraan Islam, nabi sebelum Muhammad, seperti Jesus dan Abraham juga berpuasa bagi tempoh berbeza. Tetapi pada masa Nabi Muhammad, Allah pendekkan tempohnya kepada sebulan dan menandakan ia sebagai Ramadan,” kata Mujahid.

Naib presiden Amanah itu berkata berpuasa juga mengenai membersihkan jiwa supaya seseorang boleh mendekatkan diri kepada Allah.

“Sepatutnya ada ketenangan dalam hati umat Islam bila dia bersih. Dan apabila dia bersih, dia akan rasa tenang dalam hati.

“Tetapi ada orang salah anggap. Dan tidak ada kedamaian dalam hati bila mereka mencetuskan keganasan atau mencerca agama lain atau merosakkan rumah ibadat mereka,” kata Mujahid.

Bekas pemimpin PAS itu berkata jadi lebih alim bukan bermakna membenci orang lain, tetapi menyayangi mereka.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah berkata membayar zakat juga satu lagi aspek penting dalam berpuasa.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Mufti Perlis Asri Zainul Abidin yang zakat boleh diagihkan kepada bukan Islam.

“Orang ingat zakat hanya untuk orang Islam tetapi mufti Perlis kata duit zakat boleh digunakan untuk membantu bukan Islam.

“Ini penting dalam konteks memahami hubungan antara umat Islam dan bukan Islam,” katanya.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata ada sekumpulan masyarakat yang berusaha untuk memecahkan negara dan menggesa rakyat menentang usaha sedemikian.

“Kita perlukan perubahan besar dalam negara untuk mempromosikan perpaduan di seluruh negara,” kata Santiago.

Antara yang turut hadir pada majlis itu, Pastor Gary Yeoh daripada Gereja Methodist, Dr Balamurugan Tharmalingan daripada Malaysia Hindu Sangam dan wakil Sisters in Islam (SIS), Ikram Malaysia (Ikram), Pergerakan Pemuda Islam Malaysia (Abim). Seramai kira-kira 90 orang menghadiri dialog tersebut. – 20 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen