Keputusan mahkamah cemar legasi ketua menteri, kata pemimpin DAP


Bede Hong

Mahkamah Tinggi Kuching hari ini mengembalikan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut selepas DUN Sarawak melucutkan haknya pada bulan lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Jun, 2017.

DAP hari ini mengumumkan kemenangan moral susulan Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menolak keputusan speaker Sarawak yang melucutkan hak Dr Ting Tiong Choon dan mengembalikan kelayakannya sebagai Adun Pujut.

Parti pembangkang itu berkata keputusan berkenaan juga memberi kesan buruk kepada Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg, yang mula memegang jawatan itu pada 13 Januari lalu.

“Insiden memalukan ini di mana speaker DUN menyalahgunakan kuasanya, berlaku pada persidangan pertama Abang Johari sebagai ketua menteri Sarawak,” kata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

“Penyalahgunaan itu tidak akan berlaku jika beliau tidak membenarkannya. Keputusan hari ini akan menjadi sejarah kekal mencemar legasi Abang Johari. Ia akan menjadi stigma sepanjang karier politiknya sebagai ketua menteri,” katanya.

Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusan bercanggah dengan keputusan DUN melucutkan hak Dr Ting pada 12 Mei. Usul itu dibentangkan Menteri Kewangan Kedua Wong Soon Koh dan dibenarkan untuk diundi oleh Speaker Mohamad Asfia Awang Nassar.

Hakim Douglas Christo Primus Sikayun dalam keputusannya berkata Dr Ting bukan orang yang tidak layak dan berhak kekal sebagai Adun yang dipilih.

“Tidak ada kekosongan bagi kerusi Pujut,” katanya yang turut menganugerahkan RM100,000 kepada plaintif.

“Mesej ini jelas untuk speaker Dewan yang dia tidak boleh berlagak seperti Tuhan. Sebaik saja keluar dari DUN, dia tidak berada di atas undang-undang.

“Saya rasa hakim mengambil masa lama untuk memikirkan cara Asfia mengendalikan perkara itu. Dia tidak mematuhi peraturan keadilan dan tafsirannya terhadap artikel itu salah. Secara asasnya keputusan hari ini menunjukkan kebodohannya,” kata Chong.

Dr Ting berkata kemenangan hari ini untuk DAP dan proses demokrasi.

“Keputusan hari ini diharap dapat memberi pengajaran kepada speaker untuk dapat membezakan antara betul dan salah.

“Untuk berkhidmat sebagai ahli legislatif Sarawak, dia sepatutnya adil kepada semua dan bukan sekadar mengikut kerajaan membuta tuli.

“Apa yang lebih penting ialah saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan kekuatan sepanjang beberapa minggu melalui perbicaraan ini. Saya juga berterima kasih kepada rakan dalam DAP kerana menyokong dan memberi galakan kepada saya untuk terus berjuang dan meneruskan kerja saya,” katanya.

Keputusan Mahkamah Tinggi dipercepatkan hari ini memandangkan hari penamaan calon PRK itu dijadualkan pada Selasa depan, selepas Dr Ting hilang kelayakan pada 12 Mei.

Pada 12 Mei lepas, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting berpandukan Artikel 17 (1) (G) Perlembagaan negeri Sarawak kerana pernah mendapatkan kewarganegaraan Australia sebelum ini.

Dr Ting dipercayai melanggar Artikel 17 (1) (G) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan seseorang tidak layak dipilih menjadi Adun jika pernah, antara lain secara sukarela mendapatkan kewarganegaraan atau menggunakan hak warganegara di mana-mana negara di luar persekutuan atau mengisytiharkan taat setia kepada mana-mana negara di luar persekutuan Malaysia.

Pada PRN ke-11 lalu, Dr Ting memenangi kerusi Pujut dengan majoriti 1,759 setelah memperoleh 8,899 undi, menewaskan calon BN, Hii King Chiong yang hanya mendapat 7,140 undi, calon PAS, Jofri (513 undi) dan calon Bebas, Fong Pau Teck (375 undi). – 17 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen