Siasatan kes 1MDB Najib imbau kenangan 1998


Sheridan Mahavera Jahabar Sadiq

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang melengkapkan siasatannya terhadap bekas perdana menteri Najib Razak selepas dua hari menyoal siasatnya minggu lalu berhubung kes 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2018.

MALA fide. Sama seperti Anwar Ibrahim pada 1998, Najib Razak sudah pasti akan menggunakan segala cara untuk menafikan sebarang pertuduhan dan memohon ia dibatalkan apabila beliau akhirnya dibawa ke mahkamah, yang mungkin berlaku seawal minggu ini.

Anwar, yang kini diampunkan segala kesalahannya, sebelum ini berkata tangkapannya, penahanan, tuduhan dan perbicaraan terhadapnya pada 1998 tercemar dengan mala fide (sesuatu tindakan atau keputusan berdasarkan niat buruk).

Bagi Najib, kenyataan dibuat oleh ketua anti rasuah yang baru dilantik, Mohd Shukri Abdull menunjukkan bahawa siasatan terhadapnya berbentuk lebih peribadi, berbanding profesional.

Dan dalam kemungkinan siri ulangan sejak 20 tahun lalu, kedua-dua personaliti itu akan berkongsi pendakwa raya dan peguam bela yang sama untuk hari-hari mendatang.

Peguam yang mahir dengan kes itu berkata peguam Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili Najib boleh dan mungkin akan menggunakan pembelaan itu bagi menggugurkan pertuduhan. Yusof ialah bekas peguam cara negara II dan pernah membela Anwar dalam kes Bersih 3.0 pada 2014.

Ironinya, Yusof sebelum itu mendakwa Anwar dalam kes Liwat II pada 2008. Beliau meletak jawatan dari Pejabat Peguam Negara pada 2012 ketika Abdul Gani Patail menjadi peguam negara.

Kali ini, Yusof mungkin akan menentang Gani, yang kini anggota pasukan petugas khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang sebelum ini dipecat ketika mengetuai pasukan serupa pada 2015 yang dikatakan sedang bersedia menahan Najib kerana jutaan ringgit didapati mengalir masuk ke akaunnya daripada SRC International, anak syarikat 1MDB pada masa itu.

The Malaysian Insight difahamkan Pejabat Peguam Negara sedang mempertimbangkan Gani sebagai ketua pendakwa raya kerana Peguam Negara Mohamed Apandi Ali sedang bercuti tanpa rekod sementara kerajaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi tekanan kepadanya supaya meletak jawatan.

Dan dalam satu lagi kenangan kembali, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ragunath Kesavan dikatakan ada dalam senarai untuk membantu Gani. Bekas peguam negara itu sebelum ini bekerja di syarikat guaman Ragunath untuk mendapatkan sijil amalan guaman selepas dipecat daripada jawatannya.

Ragunath akan mengikut jejak langkah peguam peribadi Najib, Muhammad Shafee Abdullah dilantik untuk melakukan pendakwaan kes jenayah. Bagi Shafee, beliau bertindak sebagai pendakwa bagi rayuan kes Liwat II oleh Anwar.

Difahamkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyimpulkan siasatannya terhadap Najib selepas dua hari menyoal siasat bekas perdana menteri itu minggu lalu.

Najib akan menjadi individu pertama di Malaysia yang diheret ke mahkamah dalam kes yang digambarkan sebagai kes kleptokrasi terbesar dunia membabitkan anggaran AS$4.5 bilion dikatakan dicuri daripada syarikat pelaburan negara itu.

Beliau juga akan menjadi perdana menteri pertama, sama ada yang masih berkhidmat atau bersara, yang didakwa atas kesalahan jenayah.

Tiga tahun lalu, Najib disiasat atas tuduhan menerima wang curi daripada 1MDB – RM42 juta yang disalurkan dari SRC International dan RM2.6 bilion dari Tanore Finance Corp.

Siasatan itu tidak ada kesudahan dan pentadbiran Najib dituduh membubarkan pasukan petugas khas yang menyiasat skandal itu.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, sumber berkata penyiasat Malaysia sudah merangka kertas pertuduhan untuk SRC International, kerana pindahan wang berkenaan berlaku di Malaysia.

Ahli Parlimen Pekan berusia 67 tahun itu dijangka menjawab pertuduhan tentang RM42 juta yang dipindahkan secara tidak sah ke akaun bank peribadinya di AmBank.

SRC ditubuhkan pada Januari 2011 untuk fokus dalam membangunkan keselamatan tenaga Malaysia. tetapi sejak dari awal, operasinya diselubungi rahsia.

Setahun selepas itu, SRC keluar dari 1MDB bagi mendapat kelayakan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Antara Disember 2014 dan Februari 2015, SRC memindahkan RM50 juta ke anak syarikatnya, Gandingan Mentari, yang kemudian memindahkannya ke Ihsan Perdana – satu syarikat mengendalikan program tanggungjawab sosial korporat untuk 1MDB.

Daripada Ihsan Perdana kemudiannya, RM42 juta disalurkan ke akaun peribadi Najib.

Najib bertegas menyatakan beliau tidak melakukan jenayah kerana tidak tahu dari mana wang itu datang dan beliau tidak mengarahkan sesiapa pun untuk memindahkan wang berkenaan ke akaunnya.

Pembelaannya nanti akan berpaksi kepada menunjukkan bahawa beberapa individu di Kementerian Kewangan, SRC dan Ihsan Perdana yang bertindak sendiri dan tidak ada arahan bertulis daripadanya mengarahkan pindahan wang dari SRC International ke akaun banknya.

Penyiasat masih melengkapkan pertuduhan lain terhadap Najib tetapi difahamkan bahawa ia lebih rumit kerana AS$731 juta itu datang dari akaun luar negara.

Najib juga menafikan bahawa AS$731 juta itu dari 1MDB, menegaskan bahawa ia sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi. Beliau juga mendakwa sudah memulangkan sejumlah besar sumbangan itu.

Shukri, ketua pesuruhjaya SPRM minggu lalu berkata putera Arab Saudi berkenaan tidak dapat memberikan sebarang dokumen kepada penyiasat Malaysia pada 2015 untuk membuktikan beliau memindahkan wang kepada Najib.

Pentadbiran baharu Pakatan Harapan berjanji untuk menjatuhkan hukuman setimpal terhadap sesiapa yang berkaitan dengan kerugian berbilion ringgit milik 1MDB.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan juga akan mendapatkan semula sebanyak mungkin wang dicuri itu yang dipercayai digunakan untuk membeli hartanah mewah dan karya seni di Amerika Syarikat. – 29 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen