FGV catat keuntungan suku pertama 2018


Felda Global Ventures (FGV) mencatat keuntungan RM8.46 juta berbanding kerugian RM32.199 juta dalam tempoh sama tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2018.

FELDA Global Ventures Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM8.46 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2018, berbanding kerugian bersih RM32.199 juta hasil daripada peningkatan produktiviti dan sumbangan tinggi daripada sektor gula, logistik dan perniagaan sokongan. 

Hasil, bagaimanapun, turun kepada RM3.6 bilion berbanding RM4.32 bilion sebelumnya.

“Saya gembira dengan peningkatan operasi yang kami catatkan,” kata Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Zakaria Arshad dalam satu kenyataan hari ini. 

Tumpuan semula untuk menambah baik operasi bagi meningkatkan pengeluaran membuahkan hasil, katanya, sambil menambah FGV akan terus berusaha mencapai produktiviti yang lebih tinggi dan kecekapan kos dalam setiap sektor. 

“Kami menjangka trend yang bertambah baik ini berterusan, kerana kami telahpun melihat hasil daripada usaha untuk meningkatkan prestasi kami. 

“FGV telah mengambil pekerja yang mencukupi bagi memenuhi keperluan. Juga, kami giat menanam semula bagi membaiki profil usia pokok kami. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Kami menumpukan kepada mencapai keputusan,” kata Zakaria. – Bernama, 28 Mei, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen