Penduduk KL lawan DBKL untuk selamatkan kawasan hijau ibu kota


Melati A. Jalil Tan Wan-Peng

Kawasan hijau dan ruang awam terbuka di Kuala Lumpur sedang diancam tindakan DBKL yang lebih mementingkan pembangunan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Jun, 2017.

SAMAN kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dilakukan penduduk kawasan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) sedang diperhatikan penduduk kawasan pinggir Kuala Lumpur lain yang turut berdepan dengan ancaman dan peningkatan mendadak kepadatan penduduk.

Semuanya bermula setahun yang lalu apabila penduduk TTDI mendapati DBKL mengeluarkan notis mengumumkan rancangan mega pembangunan yang akan menghapuskan kebanyakan besar kawasan Taman Rimba Kiara. Mereka tidak lagi berdiam diri. Mereka mahukan jawapan kepada banyak persoalan yang timbul.

Tetapi apa yang mereka temui tidak memuaskan hati: Wujud sikap tidak kisah terang-terangan DBKL bagi pemuliharaan kawasan hijau terakhir di Lembah Klang itu.

Dua minggu selepas projek bernilai RM3 bilion itu diumumkan kepada orang awam pada 14 Jun 2016, persatuan penduduk TTDI menghantar lebih daripada 5,000 tandatangan membantah projek yang akan memusnahkan kawasan hijau dan ruang terbuka orang awam terakhir di Lembah Klang.

Ogos tahun lepas, wakil penduduk menghadiri sesi pendengaran awam dan mendapati selain daripada 29 blok flat mampu milik dan lapan blok apartmen mewah yang akan dibina di atas tanah seluas 4.86 hektar itu, sebuah lebuh raya enam lorong melalui kawasan hijau dan dilindungi TTDI itu juga akan dibina.

Pada 7 Mei tahun ini, selepas bantahan penduduk nampaknya tidak diberikan perhatian, persatuan penduduk di situ mengumumkan yang mereka akan menyaman DBKL bagi menghentikan projek itu, yang didakwa diselubungi misteri dan konflik kepentingan.

Dan kawasan kejiranan lain di KL yang turut berdepan masalah yang sama sedang mengikuti perkembangan tindakan ini.

Sasaran kawasan kejiranan terlibat ialah Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, yang dilaporkan berkata dia tidak akan menyokong Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (DKLCT2020), yang mengandungi rancangan terperinci bagi Kuala Lumpur termasuklah kewujudan ruang awam terbuka.

Rancangan itu sepatutnya digazetkan pada 2012, tetapi ditangguhkan apabila pihak berkuasa mendakwa rancangan itu tidak boleh dilaksanakan disebabkan wujud perbezaan nilai semasa tanah dan nilai tanah di situ semasa rancangan itu pertama kali dirangka pada 2007.

Tengku Adnan menentang rancangan itu, berkata yang ia akan menghalang pertumbuhan dan perkembangan bandar.

DBKL kini telah mengenetepikan rancangan itu dan sedang mengadakan perbincangan untuk draf Pelan Struktur Bandaraya Kuala Lumpur 2050 (DKLCP2050).

Penduduk di kawasan kejiranan lain di Lembah Klang yang turut terkesan juga sedang merancang mengambil tindakan ke atas DBKL yang ditugaskan untuk melaksanakan matlamat seperti yang tertulis dalam laporan tahunan Pemandu mengenai Program Transformasi Negara 2016  iaitu “ penting untuk metropolis yang sedang berkembang seperti Greater KL/KV yanng dijangka mencapai populasi 10 juta menjelang tahun 2020, untuk memiliki kawasan hijau yang mencukupi untuk penghuninya”.

Taman Desa

Yap Biow Hwee, naib presiden persatuan penduduk Taman Desa berkata, sejak dua tahun lepas, enam kertas cadangan untuk pembangunan mewah dihantar kepada DBKL untuk kawasan kediaman yang terletak di sepanjang Jalan Klang Lama itu.

Projek ini akan menambah kira-kira 3,900 unit lagi ke dalam kawasan kediaman yang berusia 37 tahun itu yang sudah pun mempunyai 40,000 penduduk.

Cadangan pertama dihantar pada pertengahan 2015 untuk pembinaan 48 tingkat blok kondominium di cerun curam. Tanah itu hak milik persendirian dan projek itu dibatalkan selepas penduduk melakukan bantahan.

Tetapi cadangan untuk pembangunan baru dihantar sekali lagi pada pertengahan 2016 untuk 26 tingkat apartmen berservis yang akan dibina di atas sebidang tanah sempit berhampiran dengan medan selera Danau Desa.

Kawasan hijau ibu kota semakin diancam pembangunan yang dilakukan pihak berkuasa tanpa mengambil kira garis panduan sedia ada.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Jun, 2017.

Tidak lama selepas itu, satu lagi pemaju menghantar cadangan pembinaan tiga blok yang mempunyai lebih 40 unit di belakang sekolah di atas tanah yang kini menempatkan tiang elektrik TNB.

“Sebulan selepas itu, satu lagi kertas cadangan dihantar untuk membina kediaman mampu milik di atas tanah tempat dewan serba guna. Dan kertas cadangan kelima ialah pembinaan lima blok kondominium,” katanya.

Yap berkata aliran trafik di kawasan itu sudah pun sesak dan bekalan air menjadi masalah kerana saluran paip lama tidak lagi mampu menampung permintaan tambahan bekalan.

Yap berkata daripada enam kertas cadangan, lima sudah melalui peringkat pendengaran awam tetapi masih tiada berita mengenai status semua cadangan pembangunan itu.

“Kami beritahu DBKL…ada garis panduan tentang persekitaran kehidupan yang baik, kawasan hijau dan trafik. Tetapi mereka mengabaikan Pelan KL (Draf). Ia salah dan membuatkan ramai orang marah.

“Mereka mahu terus meletakkan semua benda dalam kawasan perumahan kami, membina infrastruktur…mereka asyik berkata yang mereka perlu bina dan bangunkan supaya mereka dapat lebih banyak pendapatan melalui taksiran,” katanya.

Taman Tiara Titiwangsa

Mei lepas, penduduk di Tiara Titiwangsa memfailkan semakan kehakiman bagi menghentikan cadangan pembangunan tiga blok apartmen di kawasan itu, yang akan meningkatkan kepadatan penduduk daripada 60 orang per ekar kepada 800 orang.

Sylvester Navaratnam, wakil penduduk berkata yang apartmen itu akan menghapuskan kawasan pusat komuniti atau padang bola sepak sedia ada. Pembinaan apartmen itu pertama kali muncul dalam pelan susun atur jalan dan saliran 2005.

“Pelan itu tidak disahkan kejiranan ini. Mereka (DBKL) tidak dengar cakap kami…mereka hanya angguk sahaja (semasa pertemuan).”

Cadangan projek kediaman itu yang terdiri daripada dua blok 52 tingkat (1,072 unit) dan 40 tingkat kediaman mampu milik (460 unit) akan dibina di atas tanah kosong yang kini menjadi milik Yayasan Wilayah Persekutuan.

Tindakan ini seolah-olah seperti apa yang berlaku di Taman Rimba Kiara, yang diubah statusnya daripada ruang awam kepada tanah komersial (lot PT9244).

“Ini adalah tanah kerajaan…tetapi kami sedang mengadu kepada mereka yang ada kepentingan,” kata Sylvester mengenai bantahan mereka yang sia-sia.

Maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan yang Tengku Adnan dan timbalannya, M. Loga Bala dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Mohd Amin Nordin Abd Aziz adalah pengarah Yayasan Wilayah Persekutuan, penerima faedah projek tersebut.

Sejak dua dekad lepas, KL kehilangan 75% kawasan hijaunya kerana pembangunan yang tidak dirancang dengan baik yang akhirnya mengurangkan kualiti kehidupan penduduk ibu kota.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Jun, 2017.

Hilangnya kawasan hijau

Dalam laporan Pemandu tahun 2016, sejumlah 135,734 pokok dilaporkan akan ditanam menerusi inisiatif Greener KL, melepasi sasaran 100,000 pokok menjelang 2020.

Satu kajian yang dilakukan DBKL dan kementerian wilayah persekutuan mendapati yang penanaman pokok ini menyebabkan peningkatan 64.9% kawasan teduh, bersamaan dengan 1.22 juta kaki persegi yang berjaya mengurangkan suhu kawasan sekitar sebanyak 2.7%.

Bagaimanapun, Pengarah Treat Every Environment Special (TrEES) Leela Panikkar berkata yang kajian bebas menunjukkan hasil kajian yang jauh berbeza.

Dia berkata yang KL kehilangan hampir 75% kawasan hijaunya sejak 20 tahun lepas kerana pembangunan.

Kajian Jabatan Seni Reka dan Reka Bentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tentang perbandingan antara kawasan hijau dan kawasan yang akan dibangunkan di KL pula menunjukkan peratusan kawasan hijau di KL jatuh daripada 76.62% kepada 23.33% dalam masa dua dekad.

“Kawasan hijau di KL sekarang terpisah dan terasing,” kata Leela kepada The Malaysian Insight.

Kehilangan itu bermula sejak 1990 sehingga 2010 dan kajian menunjukkan yang sekiranya tiada tindakan drastik diambil, Kuala Lumpur akan kehilangan lebih banyak kawasan hijau.

Tambahnya lagi, selain daripada keperluan mengazetkan kawasan hijau di Kuala Lumpur, sebuah jawatankuasa kawasan hijau, yang melibatkan pihak berkepentingan daripada semua peringkat masyarakat perlu ditubuhkan bagi menyelia pengurusan kawasan hijau ibu kota.

“Wujudnya keperluan mendesak untuk membangunkan akta yang menyeluruh, dasar dan garis panduan untuk memulihara dan memelihara kawasan hijau kita.” – 12 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen