Saya sudah biasa, kata ahli Parlimen Kluang


Muzliza Mustafa

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan kumpulannya sempat habis mengagihkan kurma kepada pengunjung dan peniaga di bazar Ramadan Taman Intan, Kluang sebelum dihalau keluar hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 11 Jun, 2017.

SEHARI selepas diserang, diganggu dan dihalau keluar dari bazar Ramadan di Kluang, wakil rakyat DAP Liew Chin Tong berdepan satu lagi situasi hampir serupa di bazar lain di kawasannya itu, hari ini.

Ahli Parlimen Kluang itu dan kumpulannya ke bazar Ramadan Taman Intan untuk mengagihkan kurma kepada pengunjung dan peniaga apabila seorang veteran tentera, yang mendakwa bertanggungjawab di bazar itu, mengarahkan Liew keluar kerana tidak ada kebenaran berada di situ.

Walaupun keadaan tidak sekasar semalam, Liew dan kumpulannya terus berlalu tanpa membantah selepas mereka selesai mengagihkan paket kurma yang terakhir.

“Orang itu marah. Dia kata kami tidak beritahu dia yang kami nak datang tetapi saya beritahu rakan kami dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah beritahu dia. Kami tidak mahu gaduh, jadi kami pergi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Timbalan Ketua Persatuan Veteran Tentera Kluang Abdul Gafur Basiron berkata tingkah laku Liew tidak beradab kerana beliau “merempuh” masuk ke kawasan bazar tanpa memaklumkan ahli jawatankuasa di situ.

Gafur berkata tugasnya ialah memastikan keselamatan semua yang berada di situ terjamin dan kehadiran Liew mungkin mencetuskan ketegangan.

“Macam mana kalau sesuatu berlaku ketika dia edar kurma? Peniaga di sini veteran tentera dan kita tidak tahu macam mana reaksi mereka.

“Jika Liew beritahu kami awal, kami boleh bantu tetapi sikap mereka hari ini tidak boleh diterima. Saya kecewa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, Liew turut dihalau tahun lepas ketika beliau dan rakannya bukan saja edar kurma tetapi turut menyampaikan risalah politik di bazar sama.

“Saya ketua di sini. Dia tidak hormat saya. Dia macam pencuri curi masuk ikut pintu belakang,” kata Gafur.

Bercakap kepada The Malaysian Insight selepas itu, Liew berkata insiden semalam dan hari ini antara cabaran yang terpaksa dihadapinya dalam berkhidmat kepada masyarakat Kluang.

Semalam, dua lelaki menghalang Liew dan kumpulannya memasuki bahagian kering di bazar Ramadan di bandar Kluang.

Salah seorang daripada mereka cuba mengasari staf Liew apabila mahu merampas kamera miliknya. Dalam pergelutan itu, Liew tercedera di dahinya.

Awal hari ini, polis menahan dua lelaki yang terbabit dalam insiden semalam.

Liew berkata ia perkara normal bagi ahli politik pembangkang dikasari, dihalang mendekati kawasan umum dan malah diserang, terutama di Johor, kubu kuat Umno dan BN.

Beliau berkata diserang dan dikasari oleh kumpulan samseng yang ada kaitan dengan parti politik, itu perkara normal.

“Umno tidak boleh lihat kami sebagai lawan yang sama dalam politik di sini,” katanya.

Liew berkata sejak memenangi kerusi itu pada 2013, sudah dua kali kumpulan samseng menghalangnya memasuki bazar Ramadan dan Deepavali.

Katanya, beliau juga pernah dikejar dan dicekik di Pasir Gudang pada 2015.

“Saya sudah biasa dengan keadaan itu,” katanya. – 11 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen