Ambiga bidas pemimpin pembangkang beri imej buruk kepada Anwar 


Low Han Shaun Nabihah Hamid

PAKATAN Harapan (PH) digesa berhenti memainkan isu Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri kerana ia hanya memberi imej buruk kepada beliau, kata bekas pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan.

Katanya, ia seolah-olah memberi gambaran menjadi PM adalah matlamat utama Anwar dan persengketaan antara barisan pimpinan mengenai siapa yang sepatutnya menjadi calon jawatan itu amat menjengkelkan. 

“Ini pandangan saya. Saya mungkin hilang kawan kerana mengatakan hal ini. Mereka (pembangkang) hanya menyusahkan Anwar. Mereka hanya memperlihatkan Anwar mahu jadi PM sahaja. 

“Mereka perlu berundur dan fikir semula mengenai apa yang mereka lakukan,” katanya pada Forum Sosial Prihatin di Gereja Westley Methodist, Kuala Lumpur hari ini. 

PH semalam terpaksa menanguhkan pengumuman pemegang jawatan ke minggu depan sebelum dapat diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

The Malaysian Insight melaporkan penangguhan keputusan tersebut ditangguhkan kerana nota daripada penjara. 

Difahamkan ketua umum PKR itu, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat, mahu cadangan sebelum ini dikekalkan, membantutkan rancangan PH untuk mendedahkan barisan kepimpinannya semalam.

Mengakui Anwar sebagai faktor kekuatan pembangkang pada dua pilihan raya lalu, Ambiga pada forum tersebut turut memberi amaran agar pakatan tidak mengambil kesempatan terhadap pihak yang mahukan perubahan. 

“Faktor Anwar tiada dalam pilihan raya akan datang.. ada ramai anggota Parlimen yang berbakat untuk pilihan raya akan datang. 

“Pandangan saya, pembangkang masih ada peluang kerana rakyat mahukan perubahan,” katanya di dalam forum. 

Menurutnya, kerajaan sedia ada sudah mentadbir selama 60 tahun dan ia perlu ditukar bagi memastikan demokrasi tidak mati. – 10 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen