#BebasAnwar atur jelajah terangkan bayaran RM9.5 juta kepada rakyat


Yasmin Ramlan

Penyokong Anwar Ibrahim menggesa pembebasan ketua pembangkang itu di depan Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Jun, 2017.

SATU siri jelajah seluruh negara anjuran badan bukan kerajaan (NGO), #BebasAnwar akan didadakan susulan pendedahan bayaran RM9.5 juta oleh Perdana Menteri Najib Razak kepada pendakwa raya Muhammad Shafee Abdullah.

Menurut kenyataan itu, siri jelajah forum rakyat itu akan diadakan pada Selasa depan pada jam 8.30 malam bermula di Petaling Jaya bagi mengupas pendedahan dibongkarkan Sarawak Report itu.

“Sehingga hari ini, tiada apa-apa maklum balas dibuat oleh peguam Umno tersebut. Yang peliknya menteri Umno Nazri Aziz serta bekas ketua polis negara Musa Hassan pula yang tampil ke depan bagi mempertahankan Shafee serta Najib,” kata kenyataan tersebut.

Tambahnya, sejak pendedahan tersebut, puluhan laporan polis dibuat di seluruh negara dan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai contoh, didesak menyiasat perkara ini.

“Namun, tiada apa-apa tindakan diambil sehingga hari ini.

“Oleh itu, kami tidak akan duduk diam sementara menunggu agensi kerajaan yang dikongkong Umno untuk mengambil tindakan.

“Kami akan bawa isu ini kepada rakyat melalui beberapa siri forum,” katanya.

Selain Selangor, siri jelajah tersebut akan turut dibawa ke negeri lain seperti Pulau Pinang, Pahang, Melaka, Johor dalam dua hingga tiga minggu lagi.

Pada 31 Mei lepas, Sarawak Report melaporkan yang peguam Umno yang juga ketua pendakwa raya dalam perbicaraan Anwar, dibayar RM9.5 juta, yang disalurkan terus daripada akaun Najib yang berpunca daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 9 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen