Muhyiddin pertikai pelantikan Idris Jala tangani kemelut FGV


Diyana Ibrahim

Idris Jala dilantik kerajaan untuk selesaikan kemelut kepimpinan FGV selepas CEO FGV Zakaria Arshad dipaksa bercuti kelmarin. - Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Jun, 2017.

PELANTIKAN Idris Jala sebagai pihak berkecuali dalam meneliti krisis kepimpinan Felda Global Ventures Holding ( FGV) dipertikaikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meragui kredibiliti Idris yang dlihat sebagai mesra kerajaan untuk menjadi pihak berkecuali dalam menyiasat krisis antara pengerusi FGV Isa Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV Zakaria Arshad.

Sebaliknya, katanya, pihak berkecuali yang patut dilantik ialah syarikat juru audit yang dilihat lebih bebas dan tidak terikat dengan kepentingan kerajaan.

“Bila dia (syarikat) buat kajian tidak akan ada kepentingan atau kaitan dengan pihak perdana menteri atau kerajaan.

“Jadi kita dapat satu laporan yang betul untuk diberitahu rakyat samaada krisis yang berlaku ini apa sebabnya,” katanya pada sidang media Bersatu di Petaling Jaya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai lantikan Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Sdn Bhd seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak semalam.

Lebih dari itu, Muhyiddin turut menyalahkan Najib yang didakwa menyebabkan krisis Felda bertambah kritikal semasa melantik Isa Samad.

Isa sebelum ini merupakan bekas pengerusi Felda sebelum memegang jawatan pengerusi FGV.

“Sepatutnya Isa dah lama letak jawatan, bila isu FGV tercetus, orang yang bertanggungjawab selepas perdana menteri ialah Isa.

“Tapi malangnya perdana menteri dan menteri yang bertanggungjawab dengan Felda tidak langsung mengetepikan tapi meletakkan Isa sebagai pengerusi FGV sebab itu masalah berterusan.”

Sebelum ini, lembaga pengarah FGV mengarahkan Zakaria bercuti serta merta bagi membolehkan siasatan mengenai tunggakan bayaran syarikat Afghanistan, Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Product Sdn Bhd. – 8 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen