AHLI parlimen Korea Selatan mengkritik dasar semikonduktor Amerika Syarikat (AS) terhadap China kerana undang-undang itu berisiko merosakkan hubungannya dengan sekutu Asia, termasuk Korea Selatan, lapor Xinhua.
Yang Hyang-ja, bekas ahli parti pembangkang utama Parti Demokrat, yang melancarkan partinya “Hope of Korea” pada Jun, berkata tindakan AS menyekat keupayaan China untuk mengakses atau mengeluarkan cip canggih, berisiko merosakkan hubungan negara itu dengan sekutu Asianya.
“Jika (Washington) terus cuba menghukum negara lain dan meluluskan rang undang-undang itu dan melaksanakan dasar ‘America First’ dengan cara yang tidak dapat dijangka, negara lain boleh membentuk pakatan menentang AS,” katanya dalam temu bual dengan Financial Times.
Bekas jurutera cip dan eksekutif Samsung Electronics itu berkata AS dilihat menggunakan kekuatannya sebagai senjata, oleh itu beliau merasakan Washington perlu untuk menimbang berkongsi lebih banyak nilai kemanusiaan bersama.
AS telah menggubal undang-undang yang memberi subsidi kepada pembuat cip sebagai pertukaran kepada penempatan semula kemudahan pembuatan mereka ke AS, dan menyekat pengembangan kemudahan di China.
Keuntungan operasi Samsung merosot 95.3% pada suku kedua berbanding tahun sebelumnya, selepas menjunam 95.5% pada suku sebelumnya.
Kerugian operasi unit pembuat cip Samsung itu mencecah hampir 9 trilion won (AS$6.85 bilion) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Semakin banyak AS mengenakan sekatan terhadap China, semakin sukar China mencapai kemajuan teknologi yang pesat. Untuk mencapai matlamat itu, China perlu memberi lebih banyak sokongan di peringkat nasional.
“AS perlu mengetepikan pendekatan semasanya dengan merosakkan nilai rantaian global,” kata Yang. – Bernama, 8 Ogos 2023.
Komen