3,000 tentera AS tiba di Laut Merah 


AS mengerahkan lebih 3,000 kelasi dan anggota marin ke Asia Barat dengan menaiki dua kapal perang. – Gambar EPA, 8 Ogos, 2023.

LEBIH 3,000 kelasi dan anggota marin Amerika Syarikat (AS) memasuki Laut Merah di Asia Barat dengan menaiki dua kapal perang AS, kata Tentera Laut AS pada Isnin.

Kehadiran itu susulan arahan Jabatan Pertahanan (DoD) yang mengerahkan aset tentera tambahan ke Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap apa yang didakwa Washington sebagai ancaman yang ditimbulkan oleh Iran, lapor Xinhua.

Anggota perkhidmatan itu adalah daripada Kumpulan Sedia Amfibia Bataan (ARG) dan Unit Ekspedisi Marin (MEU) ke-26, menurut Pusat kawalan Pasukan Tentera Laut AS (NAVCENT) dalam satu kenyataan.            

Mereka tiba di rantau itu pada Ahad menaiki kapal USS Bataan dan USS Carter Hall selepas transit melalui Terusan Suez.

“Unit Bataan ARG/MEU ke-26 membawa lebih banyak aset penerbangan dan tentera laut tambahan ke rantau itu serta lebih banyak anggota marin dan kelasi AS, memberikan lebih fleksibiliti dan keupayaan maritim kepada Armada Kelima AS,” menurut kenyataan itu.

Berpangkalan di Bahrain, Armada Kelima berada di bawah perintah USNAVCENT dan beroperasi di kawasan meliputi “Teluk Arab, Teluk Oman, Laut Merah, sebahagian Lautan Hindi dan tiga titik sempadan penting di Selat Hormuz, Terusan Suez dan Selat Bab al-Mandeb”, menurut kenyataan itu.

Penambahan kehadiran terbaharu menurut kenyataan itu adalah pengaturan yang diumumkan oleh DoD, menyusuli pengumuman Pentagon pada 17 Julai yang Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin mengarahkan kehadiran kapal pemusnah USS Thomas Hudner, serta tambahan jet tempur F-35 dan F-16 ke Selat Hormuz “untuk mempertahankan kepentingan AS dan menjaga kebebasan pelayaran di rantau itu”.

Rangkaian peristiwa itu berlaku ketika Washington menuduh Iran merampas atau cuba merampas kapal dagang yang melalui laluan air di sekitar Teluk Parsi yang penting untuk aliran perdagangan antarabangsa, terutamanya perdagangan minyak.

Beberapa media AS melaporkan AS sedang mempertimbangkan tindakan yang tidak pernah diambil iaitu menempatkan tentera di atas kapal komersial yang melalui Selat Hormuz untuk menghalang dakwaan rampasan Iran, yang didakwa AS berlaku selama bertahun-tahun.

Tindakan berpotensi berisiko meningkatkan lagi keadaan yang sudah tegang di rantau berkenaan.

Pentagon enggan mengesahkan kebenaran laporan tersebut. Setiausaha Akhbar Pentagon Pat Ryder memberitahu media semasa taklimat pada Isnin yang beliau “tiada pengumuman untuk dibuat”. – Bernama, 8 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen