Ukraine sahkan serangan di 2 jambatan utama ke Crimea


Angkatan bersenjata Ukraine mengesahkan pihaknya melancarkan serangan terhadap jambatan Chonhar dan Henichesk yang menjadi penghubung dengan Crimea. – Gambar EPA, 7 Ogos, 2023.

ANGKATAN bersenjata Ukraine pada Ahad mengesahkan pihaknya melancarkan serangan terhadap jambatan Chonhar dan Henichesk yang menjadi penghubung dengan Crimea, lapor Agensi Anadolu.

“Pada kira-kira 15.00, pasukan pertahanan melancarkan serangan ke atas jambatan Chonhar dan Henichesk, yang merupakan laluan komunikasi penting pihak penjajah,” menurut kenyataan yang dikeluarkan angkatan bersenjata.

Sebelum ini, Russia mendakwa Ukraine melancarkan peluru berpandu ke atas jambatan Chonhar yang menghubungkan wilayah Kherson dengan Semenanjung Crimea.

“Kyiv melancarkan peluru berpandu NATO Storm Shadow ke atas jambatan Chonhar dan kampung Chonhar.

“Jambatan itu rosak akibat dibedil peluru berpandu,” kata Vladimir Saldo, ketua wilayah Kherson yang diiktiraf Russia, menerusi kenyataan di Telegram.

Dalam kenyataan berasingan, ketua Crimea yang diiktiraf Russia, Sergey Aksyonov, berkata beberapa peluru berpandu ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara dan tiada kematian dilaporkan. – Bernama, 7 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen